
Isu Lagu Punca Izzue Islam Tarik Diri Daripada Forteen
Ahli kumpulan Forteen meluahkan rasa kekecewaan berhubung kenyataan Izzue Islam yang baru-baru ini mengambil keputusan untuk mengundurkan diri daripada kumpulan Forteen.
Salah seorang ahli kumpulan berkenaan, Ariz Forteen berkata, tiada sebarang perbincangan dibuat antara mereka apabila Izzue mengambil keputusan untuk mengundurkan diri.
“Secara jujurnya memang ada insiden yang telah berlaku antara kami, tetapi tidak sepatutnya ia akan berakhir sebegini.
“Kemuncaknya sewaktu Parti Gegar Vaganza yang berlangsung beberapa hari menjelang final sebelum ini. Namun, isu berkenaan sepatutnya boleh dibawa berbincang,” jelasnya.
Menurut Ariz, semasa acara parti berkenaan Izzue menyatakan lagu yang ingin dipersembahkan mereka lain daripada perbincangan.
Namun begitu, dia memberitahu bahawa lagu itu bukanlah lagu yang mereka akan persembahkan, sebaliknya ia sekadar lagu percubaan sahaja.
“Pada masa yang sama, Izzue terus meluahkan dengan mengatakan tiada perbincangan dibuat dengannya dan kejadian berlaku di hadapan staf Astro.
“Kemudian saya panggil Izzue untuk meminta maaf dan menjelaskan perkara sebenar dengan cara dan nada yang paling lembut, namun dia langsung tidak mengendahkannya,” jelas Ariz.
Menurutnya lagi, sepanjang tujuh tahun Forteen ditubuhkan, semua perkara mereka akan bincangkan bersama-sama tanpa meminggirkan mana-mana ahli kumpulan.
“Kami menghormati keputusannya untuk mengundurkan diri, namun bila dia menyatakan kami memulaukannya, itu yang membuatkan kami sedikit kecewa,” luahnya.
Dalam pada itu, mereka menyatakan sudi untuk berjumpa dan berbincang mengenai masalah yang timbul, namun bukan dalam tempoh yang terdekat ini. – KopiPlanet.com