• FOLLOW US
Filem, Review

Polis Evo 2 Tampil Dengan Cerita Lebih Mantap & Sarat Aksi

Tajuk: Polis Evo 2
Tarikh Tayangan: 22 November 2018
Durasi: 2 jam 5 minit
Genre: Aksi
Pengarah: Joel Soh, Andre Chiew
Pelakon: Zizan Razak, Shaheizy Sam, Raline Shah, Erra Fazira, Hasnul Rahmat, Mike Lucock, Tanta Ginting, Soffi Jikan, Syafie Naswip, Hairul Azreen
Klasifikasi: P13

Setelah cemerlang dalam siri yang pertama pada tahun 2015 dengan kutipan luar biasa, sekali lagi Shaheizy Sam dan Zizan kembali bergandingan menerusi Polis Evo 2.

Masih lagi mengekalkan konsep dua anggota polis yang bergabung membanteras jenayah, jalan cerita kali ini memberi cabaran yang lebih besar buat Inspektor Sani (Zizan Razak) dan Inspektor Khai (Shaheizy Sam).

Menerusi gandingan dua pengarah iaitu Joel Soh dan Andre Chiew, Polis Evo 2 memaparkan kisah kedua-dua inspektor berkenaan berhadapan dengan ekstremis ajaran sesat yang menawan penduduk sebuah pulau.

Secara ringkasnya, cerita bermula apabila Sani dan Khai terlibat dalam misi pengintipan di sebuah pulau terpencil. Suasana bertukar keruh apabila sekumpulan ekstremis ajaran sesat yang diketuai Hafsyam Jauhari (Hasnul Rahmat) menyerang dan menawan pulau tersebut.

Bagaimanapun, penulis enggan mengulas lagi berkenaan isu yang timbul sebelum ini kerana perkara berkenaan pun sudah diulas oleh beberapa pihak, termasuk Mufti Wilayah Persekutuan.

Cuma apa yang penulis ingin tekankan di sini, bagi mereka yang begitu meminati filem-filem bercorak aksi, Polis Evo 2 sememangnya filem yang paling sesuai untuk ditonton.

Sepanjang menonton filem ini selama lebih dua jam, boleh dikatakan ia sarat dengan 90 peratus babak aksi sejak dari awal sehinggalah penghujung cerita.

Dari segi karakter pula, penulis lihat tiada sebarang perbezaan ketara watak Khai dan Sani dalam filem pertama dahulu, cuma kali ini penulis lebih tertarik dengan watak Hasnul Rahmat dan pelakon Indonesia, Raline Shah.

Untuk watak Hafsyam Jauhari, dia ditampilkan sebagai ketua penjahat yang kelihatan ‘cool’, tetapi mempunyai sisi kejam yang pastinya boleh menimbulkan rasa geram penonton, terutama ketika babak Hafsyam menembak mati anggota polis Mat Dan (Syafie Naswip) tanpa belas kasihan.

Manakala, pemilihan Raline Shah sebagai Rian yang merupakan seorang polis perisik dari Indonesia juga adalah langkah yang tepat.

Ternyata watak Rian dapat dibawa dengan sebaiknya oleh Raline, malah aksi-aksi yang dilakukannya tidak mengecewakan dan boleh dikatakan sebagai salah satu tarikan untuk menonton filem ini.

Secara keseluruhannya Polis Evo 2 adalah berbaloi untuk ditonton. Ketepikan rasa skeptikal terhadap isu yang berbangkit sebelum ini apabila pergi menontonnya nanti.

Sebaliknya penonton wajar melihat filem ini sebagai sebuah filem yang menghiburkan, di sebalik memaparkan kisah pengorbanan anggota polis dalam menjaga keselamatan orang ramai.

Pada masa yang sama, elakkan juga untuk membandingkan filem ini dengan cerita yang pertama memandangkan hanya watak Shaheizy Sam dan Zizan Razak sahaja yang kekal untuk filem kedua.

Polis Evo 2 sudah mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 20 November lalu (sneak preview) dan ditayangkan secara rasmi bermula pada hari ini. – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend