• FOLLOW US
Cerita Artis, Hiburan

Izara Jaga Hati Suami, Hadkan Babak Romantis Bersama Remy Ishak

Muncul dengan drama bersiri terbaharu lakonannya berjudul Ombak Rindu The Series, pelakon Izara Aishah menyatakan dia tetap menjaga batas sebagai seorang isteri dengan tidak melakukan babak romantis berlebihan dengan rakan gandingannya, Remy Ishak.

Menurut Izara biarpun suami, Adib Khalid memberikan keizinan untuknya berlakon adegan mesra namun dia tetap perlu menjaga hati suami serta keluarga.

“Sebagai pelakon berstatus isteri, saya perlu menjaga hati suami dan keluarga. Ia juga syarat saya berikan kepada produksi sebelum bersetuju memegang watak Izzah. Asalkan tidak keterlaluan, saya tiada masalah untuk lakonkan babak tersebut.

“Memang ada beberapa adegan romantis dalam skrip drama ini yang mana membabitkan watak Hariz yang dibawakan Remy Ishak, suami kepada Izzah lakonan saya. Saya terlebih dahulu dah maklumkan pada abang Osman (pengarah) mengenai batas-batas lakonan yang perlu saya jaga dan abang Osman sangat memahami perkara itu,” katanya.

Dia berkata demikian kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis pelancaran Ombak Rindu The Series yang diadakan di Sunway Putra Mall, Kuala Lumpur semalam.

Izara atau nama sebenarnya, Nik Izara Aishah Nik Izazurin, 27, berkahwin dengan anak tiri Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, Adib Khalid pada 17 November 2017 selepas tiga tahun menyulam bercinta.

Drama empat episod itu merupakan karya adaptasi menyingkap bahagian kedua dan ketiga novel popular nukilan novelis Fauziah Ashaari dengan judul sama.

Selain Remy dan Izara, drama berdurasi 90 minit yang disiarkan Iflix itu turut dibintangi Datin Diana Danille, Uqasha Senrose, Hanna Aqeela, Corrie Lee dan Daniella Sya.

Ia diarahkan Osman Ali yang juga merupakan pengarah filem Ombak Rindu yang mencatatkan kutipan pecah panggung pada 2012. Versi filem ia dibintangi Datuk Aaron Aziz, Maya Karin dan Lisa Surihani. – KopiPlanet.com

Kredit foto: Instagram Izara Aishah

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend