• FOLLOW US
Filem, Review

Jalan Cerita Kemas, Penuh Aksi Seram Yang Tak Terduga!

Tajuk: Santet: Black Magic
Tarikh Tayangan: 25 Oktober 2018
Durasi: 1 jam 26 minit
Genre: Seram/Misteri/Thriller
Pengarah: Helfi Kardit
Pelakon: Kelly Brook, Marcellino Lefrandt, Ayu Dyah Pasha, Jazz Ocampo dan Bali Nadeya Curtain.
Klasifikasi: P13

Jarang-jarang sekali kita dapat menonton filem seram yang penuh dengan jalan cerita kemas dan tersusun. Kebanyakannya lebih suka membikin filem seram tanpa sebarang motif yang mana hanya bertunjangkan kepada jump scares sahaja.

Namun hal ini tidak terjadi kepada filem terbitan Skylar Pictures dengan kerjasama Cashmere Studios dan Empire Film Solution ini. Santet: Black Magic (Santet) mempunyai jalan cerita yang kemas dan mudah difahami oleh semua golongan penonton.

Menggabungkan pelakon dari tiga negara iaitu United Kingdom, Filipina dan Indonesia, Santet mempertaruhkan aktres Kelly Brook yang sebelum ini pernah muncul dalam filem Hollywood seperti The Italian Job dan Piranha 3D serta pelakon muda Filipina, Jazz Ocampo.

Menurut pengarahnya, Helfi Kardit kemunculan Kelly menerusi filem ini adalah bagi memberikan kesan realistik terhadap perkahwinan campur yang dilalui oleh watak utama.

“Sebelum kami menggambil Kelly sebagai pelakon utama, kami terlebih dahulu mencuba pelakon-pelakon terkenal lain seperti Jennifer Garner, Jennifer Aniston dan Mena Suvari.

“Tapi mereka tidak dapat memberikan komitmen kerana sibuk dengan jadual kerja yang lain. Ketika itu ada di kalangan kami mengesyorkan Kelly dan selepas melihat portfolio dia, memang dia calon yang cocok untuk membawakan watak Laura, seorang wanita Amerika Syarikat yang berkahwin dengan lelaki berasal dari Indonesia.

“Saya cukup berpuas hati dengan hasil lakonan kesemua pelakon yang dapat memberikan penghayatan watak seperti yang diminta untuk filem ini.

“Saya mengambil intipati Santet atau santau kerana ia perkara yang cukup dekat dengan masyarakat Indonesia dan saya cuba untuk ketengahkan keburukan mengamalkan amalan ilmu hitam yang langsung tidak membawa manfaat kepada mana-mana pihak,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Helfi ditemui pada majlis pratonton filem Santet yang berlangsung di MM2 Cineplexes, Damansara baru-baru ini.

Kekuatan Santet terletak pada plot twistnya yang mana akan membuatkan penonton tertunggu-tunggu siapa sebenarnya dalang yang cuba menghancurkan keluarga Rendy.

Walaupun ada beberapa babak seram cliche seperti tombol pintu digoncang dan diganggu dalam bilik tidur, namun semuanya digarap sempurna dan berjaya menaikkan mood seram di kalangan penonton.

Jadi, jangan lupa temujanji anda untuk menonton filem Santet: Black Magic yang ditayangkan di 68 pawagam di seluruh negara bermula hari ini (25 Oktober).

Sinopsis:

SANTET: BLACK MAGIC mengisahkan tentang Rendy (Marcelino) kembali ke kampung halamannya di Indonesia bersama-sama isterinya, Laura (Kelly Brook) dan dua anak perempuannya Aaliyah (Jazz Ocampo) dan Kelly (Bali Nadeya Curtain). Rendy yang sudah lama bermastautin di Amerika Syarikat pulang ke negara kelahirannya kerana ingin menjaga ibunya selepas bapanya mengambil keputusan nekad dengan membunuh diri.

Sejak kepulangannya, Rendy melihat tahap kesihatan ibunya yang merudum dan hanya mampu terlantar di katil sahaja. Ibunya hilang keupayaan untuk bercakap dan mula meracau-racau selain menyerang Laura dan cucu-cucunya, seakan-akan memberi tanda untuk mereka keluar dari rumah agam keluarga Rendy.

Ibu Rendy kemudian dibawa ke hospital selepas dia memuntahkan darah, kaca dan paku di hadapan Rendy, isteri dan anak-anak mereka. Walaupun mengetahui apa yang dialami oleh ibunya tidak boleh dirawat dengan kepakaran doktor perubatan, namun Rendy tetap berkeras menghantar ibunya ke hospital.

Rendy menyedari yang keluarganya diganggu syaitan dan makhluk halus, namun tiada apa yang dapat dilakukannya untuk mengelakkan keluarganya daripada terus diganggu. – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend