Cerita ArtisHiburan

Jalani Rawatan Kesuburan, Yana Tak Kisah Apa Orang Nak Cakap

Sebelum ini, pelakon Yana Samsudin mendedahkan dia sudah tiga kali membuat rawatan kesuburan Intrauterine Insemination (IUI) dalam usahanya untuk menimang cahaya mata kedua.

Proses tersebut dilakukan di sebuah pusat perubatan swasta di ibu kota sebanyak tiga kali sekitar November tahun lalu sehingga Mac baru-baru ini dengan melibatkan perbelanjaan sebanyak RM20,000.

Susulan pendedahan itu, kebanyakan netizen memberikan komen mengatakan Yana seharusnya tidak perlu terburu-buru untuk mendapatkan anak kedua memandangkan usianya yang masih muda.

Mengulas mengenai perkara itu, Yana, 34, menjelaskan dia ada sebab tertentu kenapa perkara itu dikongsikan kepada umum.

“Siapa kata saya masih muda lagi. Saya tak kisah pun orang nak cakap apa (buat rawatan kesuburan). Sebelum buat perkara itu pun, saya dah minta nasihat doktor terlebih dahulu.

“Saya kalau boleh nak empat orang cahaya mata sebelum usia mencecah 40 tahun dan sekarang saya rasa masa yang sesuai. Kalau saya hamil di kala 40-an, saya tak tahu sama ada saya kuat seperti mana kalau saya hamil di ketika usia sekarang.

“Lagi satu saya berkongsi cerita ini adalah untuk memohon doa daripada peminat. Ia juga salah satu usaha apabila ramai orang mendoakan untuk kita,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Yana ditemui pada majlis sidang media Mood Republik KL Raya Fest 2018 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menerusi festival itu, Yana akan buka gerai jualan biskut dan hijab yang berlangsung dari 8 hingga 11 Jun ini, bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Menurut Yana lagi, dia bukan terburu-buru mahu mendapatkan anak kedua sementelah anak sulungnya, Aisy Mateen belum menginjak usia dua tahun. Sebaliknya, dia mahu anak-anaknya membesar dalam satu fasa yang sama.

“Doktor ada beritahu anak-anak berusia empat tahun ke bawah mempunyai perkembangan fasa yang sama sebab itu kalau boleh anak kedua saya nak dekat-dekat umur dengan Aisy juga supaya mereka dapat membesar dalam satu fasa yang sama. Saya pun kalau boleh nak fasa tak cukup tidur itu berlangsung dalam satu tempoh yang sama sahaja.

“Kita sebagai wanita bekerjaya kena rancang semua itu. Sebenarnya anak-anak lahir serangkai ini lagi senang nak jaga,” jelas Yana lagi.

Yana berkahwin dengan pengurusnya, Fadzil Zahari pada 13 Februari 2015 dan hasil perkahwinan mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Aisy Mateen. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button