Cerita ArtisHiburan

“Kalau Ada Orang Cuit, Kita Jangan Melantun Balik” – Scha Alyahya

Sehingga ke hari ini, populariti pelakon Scha Alyahya masih lagi bertahan sejak dia menceburkan diri dalam industri hiburan bermula 14 tahun lalu.

Terbaharu, menggalas tugas selaku juri tetap program pencarian Dewi Remaja Edisi 2019/2020, Scha sempat menitipkan pesanan kepada bintang-bintang baharu yang bakal menyinar agar sentiasa fokus dalam matlamat yang ingin diraih mereka.

“Saya dah berada agak lama dalam industri, bagi saya apa-apa pun perkara yang kita (selebriti) nak buat, kita perlu ambil masa dahulu fikir baik dan buruk sesuatu perkara itu. Sebagai manusia memang kita tidak lari daripada melakukan kesilapan.

“Orang luar perlu sedar yang selebriti pun manusia biasa sama seperti mereka tidak lari daripada buat silap, jadi jangan letakkan harapan tinggi kepada kami. Saya selalu juga kena kecam tapi saya beruntung sebab boleh dikatakan mental saya kuat apabila berhadapan dengan isu-isu kontroversi.

“Saya pun banyak kali ingatkan Awal (Awal Ashaari), kalau ada orang cuit kita, kita jangan melantun balik sebab daripada apa yang kita respon itu, orang boleh tengok kita ini macam mana orangnya, sama ada kita ‘cool’ atau tidak orangnya.

“Kalau benda yang ditegur itu baik, kita ambillah nasihat mereka dan kalau sebaliknya, kita biarkan sahaja. Yang penting, keluarga tahu kita ini macam mana orangnya itu sudah cukup bagi saya,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Scha ditemui pada majlis sidang media Dewi Remaja Edisi 2019/2020 yang berlangsung di The Starling Mall, Damansara Utama semalam.

Ibu kepada Lara Alana ini juga sempat berpesan tidak salah jika seseorang selebriti itu ingin meluahkan perasaan di media sosial namun perkara itu hendaklah berpada-pada agar ia tidak memakan diri mereka.

“Saya tahu kadang-kadang ada selebriti yang suka buat live di Instagram, kadang-kadang mereka sekadar mahu masyarakat di luar sana mendengar rintihan mereka.

“Ia okay untuk mereka berbuat demikian tapi jangan sampai apa yang dibuat itu boleh ‘merosakkan’ atau ‘menyakitkan’ mereka semula. Kalau boleh, jangan buat sesuatu yang boleh memusnahkan diri kita. Zaman media sosial ini memang mudah buat orang jadi murung kalau kita tidak memanfaatkan perkara yang baik-baik,” ujarnya lagi.

Scha bakal bergandingan dengan Yusry Abdul Halim selaku juri tetap program Dewi Remaja Edisi 2019/2020 manakala Amelia Henderson mengambil peranan selaku hos rancangan.

Rancangan pencarian gadis cantik, bijak dan berbakat itu akan disiarkan menerusi Astro Ria (104) dan Ria HD (123) pada setiap Sabtu, jam 9 malam bermula 26 Oktober ini. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button