Cerita ArtisHiburan

Kamal Adli Kecil Hati Kenyataan Jurey Latiff

Pelakon Kamal Adli menyatakan kekecewaannya dengan kenyataan yang dikeluarkan pengarah filem Malay Regiment, Datuk Jurey Latiff Rosli gara-gara ketidakhadirannya pada malam gala filem tersebut yang diadakan baru-baru ini.

Menurut Kamal, sedikit sebanyak dia terasa hati dengan kenyataan pengarah berkenaan memandangkan pada malam tayangan perdana itu dia tidak dapat menghadirkan diri kerana terbabit dengan penggambaran drama bersiri, Duda Pujaan Dara lakonannya bersama Zahirah MacWilson.

“Saya okey, tiada masalah dengan abang Jurey, tiba-tiba dia keluar kenyataan ‘tak laku’, jadi saya agak terasa lah juga.

“Saya dah cakap dengan produksi tersebut, kalau free memang saya akan turun, tetapi saya tengah shooting drama Duda Pujaan Dara pada ketika itu,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem Kolestrol vs Cinta di GSC Mid Valley, semalam.

Susulan perkara itu, Kamal memohon maaf kepada pengarah terbabit sekiranya beliau terasa hati dengan tidak kehadirannya pada malam gala tersebut.

Bagaimanapun, Kamal menyatakan dia tidak mempunyai sebarang masalah dengan Jurey dan terbuka untuk bekerjasama dengan pengarah itu lagi pada masa akan datang jika diberikan tawaran.

“Saya minta maaf pada abang Jurey sebab saya tak dapat nak datang kerana terikat dengan komitmen kerja. Saya tetap promosi filem itu kerana mana-mana filem lakonan saya, memang saya akan turun support,” ujar aktor berusia 31 tahun itu lagi.

Jurey sebelum ini memetik laporan Projek MMO berkata, beliau tidak bergantung pada populariti pelakon kerana percaya dengan naskhah karyanya.

Perkara ini dibangkitkan berkaitan dengan filem Malay Regiment, di mana salah seorang pelakon yang membintangi filem tersebut adalah Kamal Adli.

“Saya tidak bergantung pada populariti pelakon kerana percaya pada karya saya sendiri. Mereka banyak kerja, apa nak buat. Mereka tidak datang, itu kerugian pada diri mereka sendiri sebab satu hari nanti mereka akan rasa apa yang saya rasa.

“Apabila sudah tidak laku, orang tidak peduli dan tidak dapat tawaran mereka akan jadi seperti mana orang lain juga. Dunia itu berputar jadi kita tengok sajalah,” luah Jurey.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai perkembangan terkini, filem terbaharu lakonan Kamal bersama Tiz Zaqyah berjudul Kolestrol vs Cinta menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula hari ini.

Selain itu, Kamal turut mendedahkan selepas ini dia akan menjalani penggambaran drama bersiri adaptasi novel yang menggandingkannya bersama kekasih hati, Emma Maembong. – KopiPlanet.com

 

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button