Rancangan TV

Kehidupan Penuh Glamor Ezurin Khyra Jadi Intipati The House Musim Ke-6

Jika sebelum ini program The House terbitan Astro sering memaparkan kehidupan peribadi melibatkan individu dalam kalangan penyanyi dan pelakon tempatan, kali ini membuat kelainan, pihak produksi menampilkan seseorang sosialit fesyen popular, Ezurin Khyra sebagai bintang utama siri tersebut.

Penonton bakal dihidangkan dengan realiti kehidupan Ezurin bersama lima cahaya matanya, Tunku Amaan Khyra, Tunku Nadya Khyra, Tunku Omaan Khyra, Tunku Imaan Khyra dan Tunku Rmaan Khyra.

Pernah mendirikan rumah tangga dengan kerabat Negeri Sembilan, Ezurin sebelum ini cukup digemari di kalangan peminat fesyen yang menggelarkannya sebagai Fashion Goddess.

Ketua Content Studio Astro, Syazwan Zakariah berkata, pemilihan Ezurin yang adalah tepat kerana The House bukan sahaja memaparkan realiti kehidupan golongan selebriti semata-mata sebaliknya turut memberi ruang kepada sosialit serta ikon yang berjaya dalam bidang masing-masing.

“Memasuki musim keenam tahun ini, jenama The House sebagai sebuah kandungan hiburan santai alaf baru membuktikan bahawa pengisian yang diperkenalkan adalah relevan dan menepati citarasa penonton masa kini.

“Kami yakin musim ini bakal memikat hati para penonton yang pastinya berasa teruja untuk mengenali Ezurin serta anak-anaknya dengan lebih dekat. Tambahan pula, ini juga merupakan perkongsian yang tidak pernah ditayangkan di mana-masa platform sebelum ini,” katanya.

Dia berkata demikian menerusi sidang media virtual The House musim keenam yang berlangsung semalam.

Selain Ezurin dan lima anaknya, program ini turut disertai rakan karib Ezurin iaitu Magie Abang Saufi yang juga merupakan adik kepada pereka fesyen tersohor, Tom Abang Saufi.

Menariknya, sering kali dikaitkan dengan imej glamor dan mewah, namun khas buat program ini, Ezurin akan menggembara ke sebuah kampung sementara kediamannya diubahsuai. Di situ dia dan anak-anak perlu menyesuaikan diri mengikut segala keperluan yang sedia ada di rumah tersebut.

Ditanya adakah dia sudah bersedia sekiranya kehidupan peribadinya dan anak-anak diselongkar netizen selepas menonton program ini, Ezurin menjelaskan, “Saya tak menganggap keluarga saya adalah sempurna dan saya rasa dalam kehidupan kita kena seimbang.

“Saya tiada masalah dengan kemungkinan komen-komen netizen kerana kadang-kala ada komen-komen daripada mereka yang membuatkan kehidupan kita jadi lebih baik lagi selepas ini.”

“Walaupun anak-anak saya semuanya belajar di luar negara, saya tetap menerapkan mereka nilai-nilai serta adab budaya orang Timur yang tidak ada di dunia Barat. Saya juga sering berpesan kepada mereka untuk sentiasa bertawakal dan jangan lupa untuk baca Al-Fatihah pada setiap masa,” katanya lagi.

Bakal memulakan siaran pada 21 Oktober ini, The House Ezurin Khyra yang menampilkan sebanyak 10 episod ini akan ditayangkan di saluran Astro Ria (124) dan Astro Ria HD (104), setiap hari Rabu, jam 9 malam. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
1
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button