• FOLLOW US
Cerita Artis, Hiburan

Kehilangan Dua Pelawak, AC Mizal ‘Fobia’ Nak Hoskan Program Lawak

Pemergian mengejut Abam Bocey atau Syed Umar Mukhtar Syed Mohd Redzuan, 32, pada pagi Isnin lalu meninggalkan kesan yang cukup mendalam buat hos popular, Datuk AC Mizal.

Menurut AC Mizal, kehilangan Abam cukup memeritkan buat dirinya kerana dia sangat rapat dengan Allahyarham yang dianggap seperti adik sendiri.

“Saya seperti rasa dia masih ada sebab saya suka mengusik dia. Keakraban di antara kami dah macam adik-beradik. Saya pun sentiasa tahu masalah adik-adik pelawak saya ini.

“Kini saya sudah kehilangan dua adik yang saya rapat iaitu arwah Yus dan Abam. Kehilangan mereka seakan membuatkan saya ‘fobia’ untuk mengacarakan program lawak sebab yang betul-betul rapat dengan saya dah dijemput ilahi,” katanya.

AC berkata demikian kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis pelancaran produk Idealyst Biocare yang berlangsung di Flora Terrace, Kuala Lumpur semalam.

Menceritakan kenangannya dengan arwah Abam, AC berkata pelawak berkenaan ada menyatakan hasrat untuk mengundurkan diri daripada bidang seni lawak.

“Arwah pernah beritahu saya yang dia nak cuba meniaga sebab dah penat buat lawak dan kadangkala dia merasakan orang dah tak hargai lawaknya.

“Selain itu, saya terkilan kerana impian arwah nak buat production house tidak kesampaian. Ketika menziarahi jenazah, saya sampai tak sanggup nak tatap wajahnya sebab terlalu sayangkan arwah. Saya terkejut dengan berita pemergiannya sampaikan ibunya pula yang terpaksa tenangkan saya,” ujarnya.

Sementara itu, Idealyst Biocare telah memperkenalkan dua produk mereka iaitu produk penjagaan bibir, k1ss lip matte dan Wonder Trim yang merupakan produk makanan tambahan.

Menariknya, produk-produk tersebut diformulasikan melalui kajian doktor bertauliah iaitu Dr. Aidil Azry Datuk Mokhtar dan isteri, Dr. Fadzlina Md Mohtar yang juga merupakan pengasas Idealyst Beauty bersama AC dan isterinya, Datin Emylia Rosnaida. – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend