• FOLLOW US
Filem, Terkini

Keluarga Iskandar The Movie: Keluarga Paling Havoc Muncul Di Astro First

Setelah sekian lama, akhirnya penantian peminat setia sitkom Keluarga Iskandar berakhir apabila anda kini berpeluang menyaksikan kerenah dan telatah keluarga paling havoc ini menerusi medium filem.

Keluarga Iskandar The Movie (KITM) akan memeriahkan lagi hiburan anda sekeluarga apabila naskhah terbaharu karya Wan Hasliza Wan Zainuddin itu bakal ditayangkan menerusi saluran Astro First (480) mulai 16 Julai ini.

KITM masih menerapkan latar tentang kehidupan keluarga arwah Haji Iskandar yang mempunyai pelbagai ragam serta gelagat sebagai rencah utama filem. Menariknya, KITM akan merungkai segala persoalan yang tergantung dalam siri sebelumnya serta ia dipadatkan lagi dengan babak-babak yang mampu membuat penonton tidak senang duduk, tak kering gusi dan juga menitiskan air mata.

Ternyata pengarah Wan Hasliza Wan Zainuddin berjaya menggandingkan kesemua elemen ini dan menggarapnya menjadi satu naskhah yang pasti mampu meninggalkan kesan kepada penonton.

Selaku Penerbit Eksekutif dan pada masa yang sama turut memikul tanggungjawab sebagai Pengarah,Wan Hasliza berkata, “Saya dan produksi mengambil keputusan untuk menghasilkan sebuah filem yang akan menjawab segala persoalan yang tercetus daripada cerita pada penghujung musim kedua ‘Keluarga Iskandar’. Justeru, saya berharap kemunculan filem ini dapat mengubati rindu peminat serta menarik peminat baru yang sebelum ini tidak pernah menonton drama siri ini.”

Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad melahirkan rasa berbesar hati kerana pihaknya diberi kepercayaan untuk membawa filem KITM terus kepada penonton. Ini sekaligus mengukuhkan lagi peranan Astro Shaw dalam menyediakan platform kepada pemain industri tanah air untuk mempersembahkan karya mereka kepada kelompok sasaran dengan menyediakan rangka pemasaran yang inovatif seterusnya memastikan kepuasan penonton sentiasa berada di paras yang terbaik menerusi sajian penuh variasi yang disediakan.

“Istimewa buat penonton, Astro Shaw membawakan sebuah filem komedi kekeluargaan. Lebih mengujakan, jenama Keluarga Iskandar sememangnya dekat dengan penonton Astro. Ini dapat dilihat menerusi momentum drama siri popularnya yang pada awalnya ditayangkan di saluran Astro Prima, manakala bagi musim kedua di saluran Astro Warna. Kami yakin ramai yang ternanti-nanti akan kemunculan semula Keluarga Iskandar, lebih-lebih lagi apabila banyak persoalan yang ditinggalkan pada pengakhiran musim kedua.

“Jadi, kemunculan KITM akan menjawab segala tanda tanya peminat. Malah, buat penonton baharu masih boleh menikmati filem ini kerana kami merasakan KITM adalah sebuah karya yang baik di mana ia mempersembahkan realiti kehidupan dan karakter-karakter yang dekat dengan masyarakat di samping menerap nilai murni yang mampu dijadikan pengajaran. Harapan kami agar KITM dapat menghiburkan penonton serta mampu mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan sesama masing-masing,” ujar Raja Jastina.

 

 

Sebahagian besar barisan pelakon KITM terdiri daripada pelakon-pelakon asal siri kegemaran ramai itu. Antaranya adalah Kismah Johar, Hilal Azman, Zain Hamid, Anita Baharom, Azhar Sulaiman, Raja Ema, Sobri Anuar, Hiera Hassan, Izz Ilham, Khayrisyah Kemal, Wan Rania Humairah, Taqim Zaki, Wan Adam Danish dan Dhia Iskandar. Selain itu, ia turut dimeriahkan lagi dengan penampilan khas para pelakon lain seperti Nabila Razali, Ajak Shiro, Faiz Dickie, Zarina Zainuddin, Amy Mastura, Razak Ahmad, Haeriyanto Hassan, Ustaz Nazri dan Shahkimin.

KITM mengisahkan Keluarga Iskandar merancang untuk konvoi bersama ke majlis perkahwinan Faris iaitu bekas teman lelaki Adibah di Pontian, Johor. Akan tetapi perjalanan ke majlis Faris agak lambat kerana Mak Jah asyik memaksa keluarganya menyinggah ke setiap satu rumah saudara sepanjang perjalanan ke Pontian. Dek kerana kebosanan, Princess dan Dardar telah merancang untuk ke taman tema tanpa pengetahuan keluarga mereka. Kehilangan mereka berdua telah menggemparkan keluarga Iskandar.

KITM akan ditayangkan terus ke pawagam rumah anda, Astro First di saluran 480 bermula 16 Julai 2020. Dengan hanya RM15, penonton boleh menonton filem ini selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang. – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend