
Komen Negatif Netizen, Khatijah Ibrahim Tidak Ambil Kisah
Walaupun dikritik segelintir netizen berhubung komen yang diberikannya menerusi program Gegar Vaganza 5 (GV5), Datuk Khatijah Ibrahim, 58, selaku juri tetap rancangan itu lebih senang mengambil pendekatan untuk tidak mengendahkan perkara tersebut.
Menurut Khatijah, beliau beranggapan bahawa setiap orang berhak untuk berkata apa sahaja yang mereka mahu mengenai program terbabit.
“Itu pasal saya tiada Instagram. Saya memang tidak mahu tahu apa yang orang komen pasal saya. Saya tak nak dilabel sebagai juri yang baik sebaliknya setiap juri ada cara masing-masing dalam memberikan komen. Saya tidak mahu peserta jadi tertekan sebab itu saya hanya boleh nasihat mereka dengan cara yang positif.
“Biarlah orang nak kata telinga saya pekak ke apa, saya dah menyanyi lebih 40 tahun takkan saya tak tahu perkara itu. Namun, takkanlah disebabkan itu saya mahu jatuhkan (maruah) peserta di atas pentas. Saya lebih senang memberikan komen dengan cara beralas,” katanya kepada KopiPlanet.com.
Selain itu, Khatijah menjelaskan beliau turut mempunyai alasan yang tersendiri kenapa sering kali menyebut nama pereka busananya pada setiap konsert mingguan GV5.
“Saya nak tanya berapa ramai selebriti yang selalu bagi pengiktirafan kepada pereka-pereka baju yang telah menaja mereka? Saya rasa tiada salah untuk menhargai hasil penat lelah pereka yang telah bertungkus lumus menyiapkan baju untuk kita lebih-lebih lagi kalau ia ditaja.
“Tindakan itu menunjukkan yang kita menghargai kerja keras mereka. Mengenai ‘sampaikan salam’ itu pula, saya cukup seronok bila pergi pasar dan hospital, ramai orang yang saya jumpa suruh sampaikan salam kepada hos GV. Itu amanah kepada saya dan disebabkan itu kalau ada kesempatan memang saya akan sampaikan salam tersebut dalam konsert mingguan GV,” jelasnya lagi.
Selain Khatijah, pengarah muzik Datuk Ramli MS turut bertindak selaku juri tetap GV5. Konsert final GV5 akan berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada Ahad ini.
Seramai 6 finalis iaitu Noryn Aziz, Amelina, Dia Fadila, Maya, Zamani dan Billy Zulkarnain akan bertarung untuk merebut hadiah utama iaitu wang tunai berjumlah RM100,000. – KopiPlanet.com



