• FOLLOW US
Filem, Terkini

Penerbit, Pengarah Polis Evo 2 Mohon Tonton Filem Dahulu

Penerbit dan pengarah filem Polis Evo 2 (PE2) memohon orang ramai agar terlebih dahulu menonton filem tersebut sebelum menjatuhkan hukum terhadap karya berkenaan.

Penerbit Eksekutif Astro Shaw, Datuk Khairul Anwar Saleh menjelaskan PE2 dihasilkan adalah kerana ingin memaparkan kesan-kesan buruk sekiranya terdapat puak pelampau agama yang mahu mengganggu gugat keamanan negara.

“Karakter dalam filem ini semua adalah rekaan semata-mata dan seperti sedia maklum Malaysia mempunyai pendirian yang sangat tegas iaitu tidak berkompromi dengan sebarang aktiviti pengganas. Filem ini hanya sebuah naskhah yang mahu menyampaikan kesan-kesan buruk sekiranya kita terlibat dalam aktiviti keganasan selain memaparkan nilai-nilai positif kemanusiaan yang perlu dipupuk oleh setiap insan.

“Bagi saya, kita harus menonton filem ini dahulu kerana apa yang dilihat menerusi trailer tidak cukup untuk menggambarkan keseluruhan jalan cerita filem ini,” katanya kepada KopiPlanet.com. ketika ditemui pada malam gala Polis Evo 2 yang berlangsung di MBO Starling Mall, Damansara semalam.

Perkara ini dibangkitkan berikutan terdapat gerakan daripada segelintir pihak yang mahu memboikot PE2 kerana mendakwa filem arahan Joel Seoh dan Andre Chiew itu seolah-olah menggambarkan Islam sebagai agama yang menggalakkan aktiviti keganasan.

Menurutnya lagi, PE2 bukan digarap untuk memberikan imej buruk terhadap orang Islam, sebaliknya bertujuan memberikan gambaran apa akibatnya jika seseorang mempergunakan agama bagi kepentingan dirinya sendiri.

Sementara itu, pengarahnya Joel Seoh berkata setiap orang ada pandangan tersendiri, namun dia berharap orang ramai menonton dahulu filem ini terlebih dahulu sebelum memberikan sebarang komen yang mungkin tersasar jauh daripada nilai dan pengajaran yang cuba diselitkan dalam PE2.

“Saya tak rasa filem ini perlu diboikot sebab setiap filem mesti ada nilai pemgajaran yang mahu disampaikan. Saya ada rasa sedikit terkilan apabila ramai yang dah salah anggap dengan filem ini. Filem ini bertujuan untuk memaparkan tugas-tugas mencabar yang dihadapi anggota polis. Itu yang saya mahu fokuskan, tetapi nampaknya orang lebih fokuskan kepada isu yang tidak sepatutnya (isu kumpulan pengganas).

“Jalan ceritanya digarap dengan sebaiknya untuk menaikkan imej pasukan beruniform polis yang sanggup berkorban apa sahaja demi menjaga keamanan dan keharmonian negara. Jadi, saya harap tonton dahulu filem ini agar tidak disalah anggap sebab filem ini memang mahu menggambarkan tanggungjawab polis itu sesuatu yang sangat besar. Bagaimanapun, itu bukan yang diketengahkan pula oleh segelintir pihak apabila dengan menonton trailer sahaja mereka sudah melabelkan filem ini sebagai sesuatu yang negatif,” jelasnya.

PE2 yang dibintangi Shaheizy Sam, Zizan Razak, Raline Shah, Hasnul Rahmat, Hairul Azreen, Riz Amin, Fir Rahman dan Jeff Catz bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 22 November ini. Menelan kos keseluruhan sebanyak RM7 juta, PE2 turut akan ditayangkan di tiga buah negara jiran iaitu Indonesia, Singapura dan Brunei.

Untuk makluman, filem Polis Evo (2015) telah mencatatkan kutipan pecah panggung apabila berjaya meraih sebanyak RM18 juta sepanjang tayangannya. – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend