• FOLLOW US
Event, Hiburan

Konsert May, XPDC Ditunda Jika Malaysia Masuk Final AFF 2018

Konsert Metal Return 1.0 yang menggabungkan dua kumpulan rock gergasi tanah air, May dan XDPC yang dijadualkan berlangsung pada 15 Disember akan ditunda ke tarikh 16 Disember sekiranya pasukan Harimau Malaya berjaya melangkah ke pentas final Piala AFF Suzuki 2018.

Menurut wakil penganjur konsert Lady Boss iaitu Nithianandan atau Nathan, perkara itu diambil kira kerana bagi memberi sokongan kepada pasukan kebangsaan.

“Konsert Metal Return 1.0 akan ditunda ke 16 Disember sekiranya pasukan Harimau Malaya berjaya melangkah ke final. Keputusan itu hanya akan diketahui selepas mereka bermain untuk pusingan kedua separuh akhir menentang Thailand di Bangkok esok.

“Sekiranya tidak berjaya, kami akan teruskan konsert pada 15 Disember seperti yang telah direncanakan sebelum ini,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Nathan ditemui pada sesi sidang media Konsert Metal Return 1.0 yang diadakan di ibu kota, hari ini. Mengikut perancangan awal, konsert itu dijadualkan berlangsung pada 15 Disember bertempat di Stadium Perak, Ipoh.

Sementara itu, vokalis May, Mus berkata dia sudah tidak sabar mahu bertemu dan menghiburkan peminat kedua-dua band rock tersebut.

“Dah lama tidak buat konsert berskala besar dan saya cukup teruja dapat lagi menghiburkan peminat di kala sudah mencecah usia. Saya tidak mungkin akan dapat beri persembahan bertenaga ketika seperti di zaman muda, tetapi saya janji akan tetap memberikan yang terbaik dengan cara saya sekarang.

“Lagipun yang buat saya teruja untuk konsert ini juga adalah kerana ia merupakan kali pertama May kembali sepentas dengan XPDC selepas kali terakhir pada tiga tahun lalu,” katanya.

Kumpulan May dianggotai oleh Mus selaku vokalis, Abu (gitar), Yuss (bass) dan Man (drum). Kumpulan XPDC pula dianggotai oleh Ali (vokalis), Izo (gitaris), Eddie (bass), Lola (drum) dan Arif (gitar).

Menerusi konsert berdurasi dua jam itu, peminat akan dihiburkan dengan 20 seleksi lagu hits daripada kedua-dua band tersebut.

Tiket konsert berharga RM60, RM95 dan RM150 boleh didapati dengan menghubungi talian 019-2407994. – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend