EventHiburan

Konsert Reunion Exists Di Shah Alam Gamit Memori 4,000 Peminat Setia

Konsert Exists Reunion yang berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam, kelmarin kembali menggamit seribu satu memori dan kenangan terutama buat ’90’s kids’ yang membesar dengan lagu-lagu nyanyian kumpulan Exists .

Konsert penyatuan semula kumpulan itu dianjurkan Shiraz Projects telah berjaya menghimpunkan kesemua anggota asal Exists yang terdiri daripada dua vokalis utama, Mamat dan Ezad, Shah (gitar), Along (gitar), Musa (bass), Ajai (keyboard) dan Ujang (dram).

Persembahan pertemuan semula tujuh sahabat itu disaksikan dengan kehadiran lebih 4,000 peminat setia mereka yang pasti sudah lama menantikan kemunculan ‘live’ Exists.

Walaupun keadaan hujan pada sebelah petang sebelum konsert berlangsung, namun ia bukan penghalang buat peminat untuk merasakan sendiri keterujaan menyaksikan persembahan kumpulan yang telah ditubuhkan sejak tahun 1991 itu.

Konsert dimulakan tepat jam 8.50 malam dengan kemunculan seorang kanak-kanak lelaki yang tampil membuat gimik sebagai Mamat ketika kecil, mempersembahkan lagu berhantu, Untukmu Ibu.

Setelah pentas dihangatkan, Mamat kemudian tampil penuh energetik menerusi rangkaian lagu seperti Anugerah, Sebelum Terlewat, Nota Di Lautan Sepi dan Janji Padamu sebelum Ezad pula mengambil alih pentas dengan menyampikan seleksi lagu-lagu hits dendangannya seperti Percayakan Siti, Mama Tolong Percaya, Masih Terserlah Ayumu, Dirantai Digelangi Rindu dan Seperti Dulu.

Menariknya konsert ini turut disediakan lirik untuk kesemua lagu di skrin LED bagi membolehkan peminat sama-sama ‘sing along’ dengan Mamat dan Ezad untuk membangkitkan lagi adrenalin keriuhan dalam konsert berskala besar itu.

Momentum dan stamina kedua-dua vokalis wajar dipuji kerana suara mereka memang saling tak tumpah seperti mendengar rakaman kaset ketika di awal-awal kemunculan mereka dahulu. Kudos Mamat dan Ezad!

Exists turut memberikan hadiah cukup manis buat peminat yang hadir pada konsert itu dengan mempersembahkan single terbaharu mereka buat pertama kalinya yang berjudul Tak Berakhir.

Lagu itu seolah-olah menterjemahkan bahawa hubungan persahabatan ketujuh-tujuh anggota asal itu yang tidak akan berakhir setakat konsert reunion ini sahaja.

Ia sekali gus membawa harapan Ajai yang mengimpikan agar peminat akan terus bercerita dan memahatkan kenangan bersama Exists sekiranya mereka tidak lagi akan tampil dalam mana-mana persembahan selepas ini.

“Saya harap sampai bila-bila pun mereka akan bercerita tentang Exists Reunion dan kami juga dapat meninggalkan kenangan manis buat mereka semua sebaik mereka keluar daripada stadium,” katanya.

Memasuki segmen kedua, Mamat dan Ezad sekali lagi bergilir-gilir menyampaikan lagu hit mereka seperti Untukmu Ibu, Jangan Gentar, Hani Lempengnya Hangus, Julia dan Mengintai Dari Tirai Kamar sebelum bergandingan melantunkan empat lagu terakhir iaitu Langkah Seiringan, Jesnita, Rahsia Pohon Cemara dan Alasanmu.

Secara keseluruhannya, konsert reunion ini telah berjaya mengukir senyuman di wajah kesemua peminat setia Exists yang membawa pulang bersama seribu satu kenangan manis bersama himpunan 24 buah lagu yang dihiburkan oleh tujuh sekawan itu. – KopiPlanet.com

Kredit foto: Instagram Azrul Rafie

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button