• FOLLOW US
Fashion, Gaya Hidup

Kualiti Material Buat Pelanggan Setia Dengan Diyana Halik

Bagi memastikan jenama tudungnya kekal relevan dan menarik minat pelanggan baharu dan lama, tudung jenama Diyana Halik akan tampilkan kelainan dengan mengeluarkan rekaan tudung baharu pada setiap bulan.

Selain itu, menurut pemiliknya, Diyana Halik, dia percaya pelanggan terus kekal setia dengan jenama tudungnya kerana material berkualiti yang digunakan dalam penghasilan produknya.

“Anda boleh ada seberapa banyak corak, tapi kalau material tak menarik memang susah nak buat pelanggan beli lagi. Oleh itu saya percaya material berkualiti pasti akan membuatkan pembeli berpuas hati dengan produk yang dikeluarkan.

“Untuk terus kekal di pasaran, saya dan juga pasukan kerja perlu terus mengeluarkan pelbagai corak-corak dan keluaran menarik bagi kekal relevan di mata pelanggan,” kata Diyana ketika ditemui di butiknya di Kota Damansara, baru-baru ini.

Menggunakan material daripada jenis chiffon dan satin, tudung jenama Diyana Halik yang mula menjengah pasaran sejak tahun 2013 ini boleh didapati dengan harga serendah RM75 hingga RM165.

Enggan membandingkan jenamanya dengan jenama tudung di luar sana, sebaliknya Diyana percaya setiap jenama mempunyai keistimewaan yang tersendiri.

Bagi Diyana Halik, tudung mereka mempunyai kelainan daripada tudung lain apabila cara pemakaiannya yang agak unik dikenali sebagai ‘Belit 8’ dan sesuai untuk wanita bekerjaya yang sentiasa ‘on the go’.

“Saya tidak suka guna perbandingan sebab setiap jenama tudung ada keistimewaan masing-masing, tapi saya bersyukur pelanggan suka tudung saya sebab material yang digunakan. Saya dah ada pelanggan setia yang membeli tudung di sini pada setiap bulan.

“Produk saya sesuai untuk wanita bekerjaya yang sentiasa bergerak, semua orang boleh jual selendang tapi kami buat sesuatu yang berlainan iaitu cara ‘Belit 8’ yang mana tidak pernah lagi diperkenalkan oleh mana-mana jenama tudung. Itu jadi identiti dan keunikan tudung Diyana Halik,” katanya yang juga merupakan isteri kepada aktor popular, Aaron Aziz.

Untuk keluaran terbaharu, Diyana Halik tampil dengan koleksi ‘travel series’ dari negara Jepun yang baharu dikunjunginya baru-baru ini. Ia mengandungi sebanyak tiga corak selendang bercirikan bunga sakura dan kipas tangan Jepun yang diberi nama Shawl Red Cherry Wagasa, Square Green Tea Macha dan Lush Printed Wagasa Lavender.

Ketika ditanya tentang perancangannya pada tahun ini, Diyana berkata dia ingin memperkuatkan lagi jenamanya dengan turun padang ke mana-mana karnival dan festival agar ia dapat lebih mendekati kepada pelanggan sasarannya.

“Misi Diyana Halik tahun ini untuk lebih turun padang seperti sertai festival mahupun karnival untuk lebih dekati pembeli berpontensi. Selain itu, InsyaAllah saya tidak mahu jual tudung sahaja, sebaliknya di masa hadapan saya bayangkan saya ada koleksi pakaian dan produk kosmetik di bawah jenama yang sama,” ujarnya lagi. – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend