• FOLLOW US

Fairuz Ramdan Papar Colours Of Unity Menerusi Batik ‘Tie Dye’

Bersempena bulan kemerdekaan, pereka fesyen tempatan, Fairuz Ramdan tampil dengan koleksi terbaharunya dalam mengekspresikan kecintaan terhadap negara.

Koleksi yang dinamakan Colours of Unity menerusi jenama ‘ready to wear’ FR Blue Label itu mengangkat tema Batik berteknik Tie Dye yang menginspirasikan warna-warna Jalur Gemilang sebagai salah satu asas koleksi ini.

Berteraskan identiti klasik dan vintaj, jenama yang menjadi tunggak kreavitivitnya, Fairuz tetap mengekalkan eleman tersebut untuk koleksi ini. Aplikasi teknik batik ini dipilih untuk meraikan kemerdekaan Malaysia yang ke-62 yang disambut pada hari ini.

Ia bertujuan untuk mendidik dan mengalakkan generasi muda masa kini akan pentingnya warisan dan budaya negara melalui fesyen.

Batik Tie Dye ini juga berobjektif untuk memperlihatkan hasil kerja batik yang sebenar. Setiap helaian yang dibuat menuruti proses ikatan dan warna yang sangat teliti.

Koleksi ini dihasilkan dengan sangat teliti dan rapi, dibuat dengan kerja tangan sepenuhnya dan bukan hasil cetakan digital atau mesin sekali gus menambahkan nilai estetika yang tinggi kepada si pemakai.

Colours of Unity kini sudah boleh didapati di pasaran bermula dari 28 Ogos lalu dan dijual pada harga RM95.00 sehelai. – KopiPlanet.com

GenF: 10 Jenama Bersaing Rebut Gelaran Pereka Fesyen Unggul

Menampilkan kelainan, Astro kali ini mengenengahkan sebuah program realiti pencarian pereka fesyen unggul, GenF bagi mengiktiraf bakat-bakat yang dimiliki oleh kesemua peserta.

Sebanyak 10 jenama bakal berasing untuk merebut gelaran Juara GenF untuk musim pertama ini. Setiap jenama akan diwakili dua orang pereka fesyen yang bergabung tenaga, kemahiran dan kreativiti untuk menghasilkan rekaan terbaik.

Menurut Ketua Saluran Melayu Astro, Raqim Ahmad, program ini adakan bagi melahirkan pereka fesyen yang berilmu untuk menghasilkan rekaan yang mempunyai nilai tinggi dan mahir dengan strategi berkesan untuk mengaut keuntungan daripada rekaan yang dihasilkan.

“Perkembangan pesat industri fesyen tanah air tidak boleh disangka. Senario positif ini turut disemarakkan oleh kemeriahan penganjuran pelbagai acara fesyen tempatan yang bertaraf dunia sekali gus menyaksikan kemunculan pelbagai jenama tempatan yang menguasai pasaran utama di Malaysia.

“Nilai kebergantungan dunia hiburan dan fesyen amat tinggi dan saling melengkapi. Melihat kepada potensi pasaran komersial ini, Astro selaku peneraju kandungan utama ingin melakar inisiatif baharu dengan menyediakan platform kepada pereka-pereka muda ini untuk berkarya dan membina legasi yang boleh melonjakkan jenama mereka ke peringkat yang lebih tinggi di samping mampu bertahan lama dalam bidang ini,” katanya.

GenF bakal disiarkan pada setiap Ahad bermula 11 Mac ini, jam 9 malam di Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123) akan menyaksikan penampilan pereka fesyen tersohor, Datuk Rizalman Ibrahim dan pengasas FashionValet, Vivy Yusof selaku juri tetap dan mentor.

Sistem penjurian adalah 100% ditentukan oleh barisan juri yang akan menilai para peserta berdasarkan tiga kriteria utama, iaitu dari segi idea, kemahiran serta personaliti yang ditampilkan peserta.

Bagi membantu peserta dari sudut teknikal dan kreativiti, program ini juga menampilkan khidmat nasihat dua orang pakar fesyen iaitu Zaihani Mohd Zain dan pensyarah kanan fesyen, Faizal Hamid.

Yang menariknya, rancangan ini turut memberi kepercayaan kepada pelakon Hisyam Hamid yang akan bertindak selaku hos.

Juara GenF akan membawa pulang wang tunai bernilai RM100,000 sumbangan Astro beserta koleksi kapsul tajaan FashionValet. – KopiPlanet.com

10 Peserta Yang Bersaing Dalam GenF:

1. JENAMA: KAHOU
Vincent Hou & Yoong Jia Yi

2. JENAMA: LOLO
Lorenzo Peh & Kong Jia Hui (Ivy)

3. JENAMA: HN
Hanif Naim & Filzah Zaidi

4. JENAMA: WAN & MARY
Hazzerwan Lee & Mariam Musa

5. JENAMA: CALAQISYA
Farah Azrina Khairuddin & Hadi Aizat

6. JENAMA: JUBAHSOUQ
Fameiza Kasim & Fatin Sakinah

7. JENAMA: RIDZUAN ALIAS
Ridzuan Alias & Nasyreen ’Amirah

8. JENAMA: LARF
Allif Firdaus (Latifi) & Faiz Ripin (Black)

9. JENAMA: SETH & LUNA
Jimiey Whang & Irie Mohamed

10. JENAMA: CLOTHESOLOGY
Aynaa Manan & Mujahidah

Individu Hantar Bunga Kepada Joy Revfa Masih Misteri

Bekas isteri Hafiz Hamidun iaitu pengusaha produk kecantikan, Jov Revfa mendedahkan dia banyak menerima jambangan bunga sejak dirinya kembali solo Oktober tahun lalu.

Menurut Joy, sehingga kini dia tidak mengetahui identiti individu yang mengirimkan bunga terhadapnya pada setiap bulan itu.

“Saya kerap kali menerima jambangan bunga daripada lelaki misteri dan saya tidak tahu siapa dia. Sampai saya cakap siapa yang bagi bunga ini jom dating dengan saya, tapi dia tidak munculkan diri juga di Instagram dan Facebook saya.

“Sebulan dalam dua kali dia bagi bunga pada saya. Saya rasa orang yang bagi ini orang yang berlainan tapi masing-masing tak berani tampil ke depan. Sebenarnya, sebelum kahwin lagi dia dah selalu hantar tapi dia berhenti bagi lepas saya dah kahwin dan selepas saya single balik ini, dia mula hantar balik,” kata Joy ketika ditemui pada majlis pelancaran tudung Aliff by Sha yang diadakan di Romah Makan Terlajak Laris di Kota Damansara baru-baru ini.

Joy tersenarai salah seorang daripada lima wanita dalam kempen tudung Aliff by Sha, 5 Inspired Women termasuk Nadia Annuar, Uyaina Arshad, Nabila Razali dan Datin Seri Nur Shahida.

Walaupun pernah melalui dua kali kegagalan dalam perkahwinan, namun Joy atau nama sebenarnya Siti Arifah Mohd Amin berkata, dia tidak pernah serik untuk mendirikan rumah tangga lagi.

“Saya tidak serik untuk menerima cinta baharu kerana InsyaAllah, Allah dah susun jodoh yang terbaik untuk saya. Saya pun menerima dugaan ini (penceraian) dnegan redha. Allah uji kerana Dia mahu kita jadi lebih kuat. Tapi buat masa ini, saya senang single dahulu,” katanya yang mempunyai seorang anak lelaki, Arryan Firdaus hasil daripada perkahwinan pertama.

Nama Joy Revfa sebelum ini menjadi perhatian apabila perkahwinannya dengan penyanyi dan komposer Hafiz Hamidun pada 1 Mei 2017 didakwa tidak sah.

Konflik tersebut akhirnya selesai selepas Hafiz melafazkan talak satu terhadap wanita itu di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Petaling pada 25 Oktober tahun lalu.

Sementara itu, Joy turut mendedahkan dia banyak mendapat pelbagai tawaran lakonan dan nyanyian namun buat masa ini dia masih belum bersedia untuk melangkah ke bidang seni.

“Saya ada dipelawa untuk berlakon tapi saya rasa buat masa ini saya masih belum bersedia. Malah saya pun dapat tawaran menyanyi daripada komposer Indonesia, tapi saya perlu fikir panjang dulu kerana suara saya tidak sedap. Saya tidak menolak tetapi belum bersedia lagi,” katanya lagi. – KopiPlanet.com

Kualiti Material Buat Pelanggan Setia Dengan Diyana Halik

Bagi memastikan jenama tudungnya kekal relevan dan menarik minat pelanggan baharu dan lama, tudung jenama Diyana Halik akan tampilkan kelainan dengan mengeluarkan rekaan tudung baharu pada setiap bulan.

Selain itu, menurut pemiliknya, Diyana Halik, dia percaya pelanggan terus kekal setia dengan jenama tudungnya kerana material berkualiti yang digunakan dalam penghasilan produknya.

“Anda boleh ada seberapa banyak corak, tapi kalau material tak menarik memang susah nak buat pelanggan beli lagi. Oleh itu saya percaya material berkualiti pasti akan membuatkan pembeli berpuas hati dengan produk yang dikeluarkan.

“Untuk terus kekal di pasaran, saya dan juga pasukan kerja perlu terus mengeluarkan pelbagai corak-corak dan keluaran menarik bagi kekal relevan di mata pelanggan,” kata Diyana ketika ditemui di butiknya di Kota Damansara, baru-baru ini.

Menggunakan material daripada jenis chiffon dan satin, tudung jenama Diyana Halik yang mula menjengah pasaran sejak tahun 2013 ini boleh didapati dengan harga serendah RM75 hingga RM165.

Enggan membandingkan jenamanya dengan jenama tudung di luar sana, sebaliknya Diyana percaya setiap jenama mempunyai keistimewaan yang tersendiri.

Bagi Diyana Halik, tudung mereka mempunyai kelainan daripada tudung lain apabila cara pemakaiannya yang agak unik dikenali sebagai ‘Belit 8’ dan sesuai untuk wanita bekerjaya yang sentiasa ‘on the go’.

“Saya tidak suka guna perbandingan sebab setiap jenama tudung ada keistimewaan masing-masing, tapi saya bersyukur pelanggan suka tudung saya sebab material yang digunakan. Saya dah ada pelanggan setia yang membeli tudung di sini pada setiap bulan.

“Produk saya sesuai untuk wanita bekerjaya yang sentiasa bergerak, semua orang boleh jual selendang tapi kami buat sesuatu yang berlainan iaitu cara ‘Belit 8’ yang mana tidak pernah lagi diperkenalkan oleh mana-mana jenama tudung. Itu jadi identiti dan keunikan tudung Diyana Halik,” katanya yang juga merupakan isteri kepada aktor popular, Aaron Aziz.

Untuk keluaran terbaharu, Diyana Halik tampil dengan koleksi ‘travel series’ dari negara Jepun yang baharu dikunjunginya baru-baru ini. Ia mengandungi sebanyak tiga corak selendang bercirikan bunga sakura dan kipas tangan Jepun yang diberi nama Shawl Red Cherry Wagasa, Square Green Tea Macha dan Lush Printed Wagasa Lavender.

Ketika ditanya tentang perancangannya pada tahun ini, Diyana berkata dia ingin memperkuatkan lagi jenamanya dengan turun padang ke mana-mana karnival dan festival agar ia dapat lebih mendekati kepada pelanggan sasarannya.

“Misi Diyana Halik tahun ini untuk lebih turun padang seperti sertai festival mahupun karnival untuk lebih dekati pembeli berpontensi. Selain itu, InsyaAllah saya tidak mahu jual tudung sahaja, sebaliknya di masa hadapan saya bayangkan saya ada koleksi pakaian dan produk kosmetik di bawah jenama yang sama,” ujarnya lagi. – KopiPlanet.com