
Kurang Tawaran Lakonan, Shah Iskandar Mahu Fokus Kepada Perniagaan
Pelakon Shah Iskandar menyatakan dia akan lebih memberi tumpuan kepada perniagaan pada tahun hadapan memandangkan kini dia sudah kurang mendapat tawaran lakonan.
Shah berkata, tidak dinafikan rezeki dalam bidang lakonan tidaklah semeriah sebelum ini, biarpun mengakui masih mahu bergiat aktif sebagai pelakon.
“Ramai juga yang bertanya sama ada masih berlakon atau tidak, tetapi sejujurnya saya masih lagi mahu berlakon. Cuma tawaran yang diterima tidaklah selebat seperti tiga atau empat tahun yang lalu.
“Saya faham situasi itu kerana tidak seperti kebanyakan artis lain yang kerap mempromosikan diri di media sosial sehinggakan pernah ditegur oleh isteri,” ujarnya.
Menurut pelakon kelahiran Singapura itu, biarpun sudah jarang berlakon, dia sebenarnya banyak membantu perniagaan spa kecantikan milik isterinya.
Ujar Shah, selain itu dia juga kini terlibat dalam perniagaan produk kegunaan ibu selepas bersalin di bawah jenama Embah dan dalam masa terdekat ini dia akan membuka perniagaan makanan.
“Insyaallah, mungkin hujung tahun ini saya membuka perniagaan sup tulang merah. Cuma saya tak boleh bercerita lebih lanjut kerana masih dalam proses persediaan.
“Jadi, boleh dikatakan untuk tahun 2020 saya memang mahu fokus kepada perniagaan. Namun, sekiranya masih ada mendapat tawaran berlakon saya akan terima kerana lakonan sudah sebati dengan diri saya,” jelasnya.
Sementara itu, ketika ditanya tentang pembabitannya dalam perniagaan produk jenama Embah itu, Shah menyatakan dia lebih tertumpu kepada pasaran di Singapura.
Menurutnya, dia berani untuk mencuba memasarkan Embah kerana melihat produk sebegitu sememangnya mempunyai pasaran yang lebih luas di negara kelahirannya itu.
“Sebenarnya tiada apa-apa isu pun kalau saya terbabit dengan pernigaan ini, biarpun saya seorang lelaki kerana saya melihat potensi yang ada.
“Lagipun saya melihat masih ramai lagi ibu-ibu di Singapura yang masih mencari cara rawatan tradisional selepas bersalin dan Embah adalah produk yang paling sesuai,” ujarnya. – KopiPlanet.com



