Cerita ArtisHiburan

Lagu Khas Untuk Arwah Abam Trending No. 1 Di YouTube

Pemergian Abam atau nama sebenarnya, Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Ridzuan pada usia 32 tahun meninggalkan kesan mendalam bukan saja pada keluarga dan sahabat, tapi seluruh peminat.

Malah, kedua sahabat baiknya yang juga pelawak, Achey dan Fad boleh dikatakan hampir setiap hari berkongsi kenangan mereka bersama di laman Instagram.
 
Malah, tanda pagar #kitabaikramaisayang yang dimuat naik Achey dan Fad di laman sosial sepanjang pemergian Abam juga menjadi ikutan ramai.
 
Dan bagi memperingati pemergian Abam, Achey dan Fad menerusi syarikat rakaman 17Eleven Music melancarkan single, Kita Baik Ramai Sayang khas buat arwah Abam.
 
Fad berkata, lagu itu menggambarkan perasaan dirinya dan Achey terhadap arwah.
 
“Idea menghasilkan lagu ini timbul selepas tiga hari arwah meninggal dunia. Ippo Hafiz yang usulkan pada Achey. Katanya, melodi dan lirik datang secara tiba-tiba ketika di studio.
 
“Ditambah pula ketika itu, Ippo melihat keadaan saya dan Achey termasuk orang ramai yang begitu terkesan sejak pemergian arwah. Kali pertama dengar melodi, saya menangis. Saya cakap pada Achey, inilah perasaan kita pada arwah,” katanya.
 
Fad berkata, proses rakaman berjalan lancar selain dia dan Achey mudah memahami lagu itu.
 
“Selepas berjumpa dan ‘meeting’ dengan Ippo, kami pun jamming lagu ini. Kami pun beri idea sikit untuk lirik.
 
“Apabila lagu penuh siap, kami tidak perlu belajar lagu ini sebab ia mudah untuk kami. Bukan nak kata kami hebat, tapi mungkin sebab lagu ini adalah gambaran perasaan kami pada arwah, jadi ia dipermudahkan.
 
”Sejujurnya, ketika proses rakaman, saya sebak. Begitu juga dengan Achey. Baca lirik dan dengar melodi, saya terbayang arwah. Dengar lagu ini, itulah perasaan kami pada arwah,” katanya.
 
Menurut Fad, sebahagian hasil yang diperoleh daripada lagu itu akan disalurkan kepada anak, balu dan ibu arwah. Tidak terkecuali, Pertubuhan Anak Yatim dan Miskin Baitu Saidi Khadijah, Gombak tempat arwah sering membuat sumbangan.
 
“Sewaktu proses rakaman lagi, kami sudah niat yang mana hasil lagu ini akan ada bahagian untuk Hamzah, balu dan ibu arwah.
 
“Tidak ketinggalan pada rumah anak-anak yatim tempat arwah selalu bantu. Bagi kami, ini saja yang kami boleh buat untuk arwah. Mungkin tak banyak, tapi dapat teruskan usaha murni arwah.
 
“Lagu ini juga bukan untuk tukuan bisnes. Tapi ia untuk arwah supaya kita semua tidak lupa padanya. Dengar lagu ini, orang akan ingat dan boleh mendoakan arwah,” katanya.
 
Menariknya, single yang dilancarkan pada Rabu lalu itu menduduki tempat pertama dalam carta trending di laman YouTube.
 
Single ciptaan Ippo Hafiz dan lirik oleh Ippo Hafiz, Achey dan Fad itu sudah mencecah tontonan lebih 700,000 hanya dalam tempoh 24 jam.
 
Arwah Abam menghembuskan nafas terakhir pada 10 Februari lalu di kediamannya di Gombak akibat demam panas.
 
Arwah meninggalkan seorang balu, Siti Nurhidayah Mohd Ali dan seorang anak lelaki,  Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey yang kini berusia sembilan bulan. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button