
Lalui Kehidupan Positif Rahsia Eizlan Yusof Nampak Kekal Muda Dan Sihat
Pelakon terkenal Datuk Seri Eizlan Yusof mendedahkan sehingga kini dia tidak mengamalkan sebarang petua untuk kelihatan muda dan sihat.
Menurut pelakon yang sudah mencecah usia 48 tahun itu, setakat ini dia hanya melalui kehidupan yang positif serta sering berdoa agar diberi kesihatan yang baik.
“Saya bersyukur kepada Allah dengan rezeki yang telah dikurniakan. Biarpun kadang-kadang hati ini terluka, bagi saya paling penting adalah terus senyum dan melalui kehidupan yang positif.
“Kalau dari segi pemakanan pula memang saya tak pernah jaga dan makan apa sahaja yang diinginkan kerana saya seorang yang kuat makan, malah saya juga tidak pergi facial (rawatan muka),” ujarnya kepada KopiPlanet ketika ditemui baru-baru ini.
Dalam pada itu, dengan statusnya sebagai seorang pelakon senior yang berpengalaman, Eizlan turut memberi nasihat kepada pelakon-pelakon baharu.
Tegasnya, setiap pelakon tidak boleh terlalu bersandar kepada populariti semata-mata sekiranya mahu terus bertahan dalam industri untuk tempoh yang lama.
“Kalau kita popular, tak semestinya kita seorang yang bagus. Ada segelintir yang merasakan apabila mereka dah popular, maknanya mereka dah bagus.
“Popular dan bagus adalah dua perkara yang berbeza. Kelebihan apabila popular, akan banyak tawaran yang masuk. Jadi, gunakanlah populariti itu untuk asah lagi bakat yang ada supaya menjadi pelakon yang bagus,” jelasnya.
Ujanya lagi, populariti itu lama-kelamaan akan hilang dan apa yang tinggal adalah kualiti lakonan yang ditunjukkan dan itu merupakan faktor untuk terus bertahan. – KopiPlanet.com



