• FOLLOW US
Cerita Artis, Hiburan

Stacy muncul dengan single Cakap Ke Tangan

Setelah berehat selama hampir setahun daripada sebarang aktiviti seni, juara Akademi Fantasia 6 (AF6) Stacy Anam kini muncul dengan single terbaharu berjudul Cakap Ke Tangan yang baru saha dilancarkan baru-baru ini.

Sesuatu yang menarik tentang single Cakap Ke Tangan ini apabila ia merupakan hasil ciptaan sepenuhnya oleh Hang Nedim atau Akim Ahmad yang merupakan suaminya serta Laq dengan mengekalkan konsep muzuk catchy.

“Saya anggap single terbaharu ini merupakan hadiah istimewa daripada suami tercinta. Malah, saya gembira dengan hasilnya terutama sekali lirik dan alunan muziknya yang begitu menepati citarasa saya.

“Meskipun sudah lama tidak beraksi di pentas, saya masih lagi Stacy yang dulu memandangkan nyanyian dan tarian adalah jiwa dan memberi kepuasan kepada saya. Selagi ada yang percaya dengan bakat dan kemampuan saya, selagi itu saya akan terus menghiburkan semua terutama sekali peminat,” ujarnya sambil menjelaskan lagunya kali ini digubah dengan susunan singkat dan ringkas, tetapi mempunyai mesej yang mendalam.

Menurut Stacy, single Cakap Ke Tangan ini menjurus kepada segelintir masyarakat yang sering menilai kekurangan orang lain sebelum melihat kelemahan sendiri dan dia berharap agar mesej yang ingin disampaikan dapat memberi manfaat, seterusnya memberi kesan yang positif kepada orang ramai.

Tambahnya lagi, menerusi lagu ini dia ingin memberi motivasi kepada peminatnya agar mereka perlu yakin dalam hidup dan tidak perlu takut dengan pandangan serong yang sering dilemparkan oleh segelintir masyarakat.

“Sepanjang bergelar penyanyi, saya sudah lali dengan sepak terajang dunia hiburan serta pernah diuji dengan pelbagai pahit getir dan turut pernah mendapat kecaman ramai terutamanya di media sosial.

“Tidak dinafikan, sebagai artis segala gerak geri saya menjadi perhatian sehingga kadang kala menjadi bahan cerita yang kurang enak. Namun, saya enggan ambil pusing dengan sebarang unsur negatif dan ambil semua itu sebagai penguat semangat untuk bekerja lebih keras untuk cemerlang dalam membina jenama sendiri,” luahnya.

Sementara itu, Ketua Muzik Label, Rocketfuel Entertainment Sdn. Bhd. Adam Lobo menjelaskan bahawa Stacy merupakan seorang penyanyi wanita yang mempunyai tahap motivasi yang tinggi.

“Semangat dan etika kerjanya amat dihormati dan perlu dipuji kerana beliau tidak mudah putus asa dan sentiasa berkongsi idea-idea untuk menghasilkan lagu-lagu yang berkualiti agar mudah diterima peminat.

“Kelainan yang dibawa oleh Stacy melalui single ‘Cakap Ke Tangan’ adalah menerusi mesejnya yang mendalam dan membuatkan Stacy bukan sahaja berperanan sebagai seorang penghibur, malah jika diuntai barisan liriknya beliau mengajak peminat untuk menjadi seorang yang positif dan harus memiliki mental yang kuat,” jelasnya.

Menurutnya lagi, dengan adanya konsep muzik bertenaga dan ringkas ini, pihak pengurusan berharap agar para peminat muzik tanah air menggemari dan teruskan menyokong kerjaya seni Stacy.

Single ‘Cakap Ke Tangan’ ini diterbitkan sepenuhnya oleh Rocketfuel Entertainment Sdn. Bhd. dan akan mula menemui peminat menerusi corong-corong stesen radio tempatan bermula pada hari ini.

Selain itu, muzik video lagu ‘Cakap Ke Tangan’ juga boleh ditonton secara eksklusif menerusi saluran Youtube ‘Rocketfuel Network’ serta boleh dimuat turun di iTunes dan dijadikan sebagai panggilan nada dering menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengari melalui penstriman di atas talian seperti Raku, Spotify, Joox dan Apple Music. Layari saluran Youtube Rocketfuel Network untuk maklumat lanjut.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend