
Lan Akui Lebih Selesa Guna Nama Lan Solo
Pemenang tempat ketiga program Gegar Vaganza musim keempat (GV4), Lan mengakui lebih selesa menggunakan nama Lan Solo biarpun program itu sudah melabuhkan tirainya Ahad lalu.
Nama Lan Solo diberikan hos GV4, Nabil Ahmad secara spontan selepas Lan mengambil keputusan menarik diri daripada kumpulan Kristal pada minggu kelima program itu berlangsung.
“Bukan saya tak nak letak nama sendiri tapi saya rasa nama Lan Solo itu rare.
“Kalau nama sendiri ia terlalu biasa dan cliche. Lan Solo orang senang nak ingat dan sebut,” katanya kepada KopiPlanet.com.
Lan ditemui pada sidang media selepas berakhirnya konsert final GV4 di Pinewood Studios, Johor Bahru, malam Ahad.
Menurut Lan selepas ini dia akan memberikan tumpuan terhadap kerjaya solonya selepas keluar daripada Kristal.
“Selepas ini memang plan saya nak buat apa yang orang suka, itu motif saya masuk GV.
“Memandangkan dah bergerak solo ni saya akan teruskan dengan projek solo saya.
“Rancangan selepas ini saya dalam proses pencarian lagu dan daripada kebanyakan survey yang dibuat di laman sosial, peminat mahukan saya bawa genre ballad rock.
“Tapi ada juga yang mahukan saya bawa lagu-lagu pop catchy yang saya persembahkan dalam GV4 seperti lagu Sangkar Cinta dan Kalis Rindu. Lagu-lagu catchy macam itu pun saya akan cuba buat juga,” katanya lagi.
Mengulas mengenai isu ‘ketegangannya’ dengan Kristal, Lan berkata sehingga ke hari ini tiada sebarang pertemuan lanjut diadakan dengan ahli kumpulan tersebut memandangkan dia sebelum ini turut sibuk dengan persiapan konsert mingguan GV4.
Ketika ditanya jika dia ditawarkan untuk kembali menyertai kumpulan tersebut, Lan berkata, “Senang cerita keputusan saya undur diri itu ibarat talak satu, boleh rujuk kembali, tiada masalah, masa itu pun isu itu tengah panas saya pun terluka.
“Tapi saya tak menjangkakan apa-apa. Mungkin rezeki mendatang saya pun tak tahu apa yang terbaik.
“Saya hanya mengikut apa yang dirancangkan Allah SWT. Saya tahu rencana Dia yang terbaik, saya ikut sahaja.
“Saya sangat sayangkan Kristal, dekat kereta, dompet saya pun ada lagi sticker Kristal. Saya sayang sangat sebab hampir 20 tahun saya bersama Kristal, saya rasa ralatlah,” jelasnya.
Lan juga tidak menafikan isu itu mungkin berpunca daripada campur tangan orang ketiga.
“Malam selepas saya tarik diri saya ada Whats App Datuk Awie (pengasas Kristal) dengan tindakan saya mengundur diri dan beliau balas ‘semua dah tertulis, jangan rasa kesal dan teruskan perjuangan’ itu nasihat Awie.
“Saya tak nafikan kisah ini lebih kepada ada orang cucuk. Saya tak tahu siapa sebab saya tak ambil tahu langsung.
“Tapi daripada apa yang saya baca, yang mereka terpaksa merehatkan saya atas nasihat orang lama, mungkin itulah orang yang cucuk. Saya tak pasti sebab saya hanya baca kenyataan yang dikeluarkan ahli Kristal di laman sosial,” ulasnya lagi.
Enggan memandang ke belakang lagi, Lan atau nama lengkapnya Mohd Razlan Mohamed Yusof, 32, berkata dia kini akan lebih fokus kepada kerjayanya memandangkan keluarga menjadi keutamaannya dan tidak kisah mengubah haluan muzik yang dibawakan mengikut citarasa pendengar masa kini.
“Keluarga jadi keutamaan saya dan kalau lepas ini saya perlu bawa muzik seperti penyanyi-penyanyi sekarang, saya tidak akan menolak demi kelangsungan hidup saya sekeluarga,” katanya yang bakal menimang cahaya mata keempat pada awal tahun hadapan. – KopiPlanet.com