AntarabangsaKpop

Tekanan Perlu Kekal Popular Mungkin Punca Bunuh Diri

Satu nota bunuh diri yang ditinggalkan penyanyi SHINee, Jonghyun menarik perhatian ramai pihak apabila dia dikatakan mengambil keputusan nekad menamatkan riwayatnya disebabkan tekanan perlu kekal popular dalam industri muzik Korea Selatan yang digelar K-Pop.

Jonghyun atau nama sebenarnya Kim Jong-hyun, 27, yang merupakan penyanyi utama kumpulan SHINee meninggal dunia di sebuah hospital di Seoul selepas ditemui tidak sedarkan diri di kediamannya, Isnin lalu.

Merupakan salah seorang bintang Korea yang cukup popular, Jonghyun dan kumpulannya juga merupakan antara beberapa kumpulan yang diberi perhatian syarikat pengurusan sehingga mereka kini cukup dikenali peminat di serata Asia dan Eropah.

Menerusi surat yang ditinggalkannya kepada seorang rakan baiknya penyanyi Nine9, Jonghyun meluahkan yang dia berasa seperti hatinya hancur luluh sehingga ia memakan dirinya dari hari ke sehari.

Nota itu dimuat naik Nine9 menerusi Instagramnya, kerana ia merupakan pesanan Jonghyun untuk dirinya berbuat demikian selepas kematiannya.

“Saya keseorangan. Untuk menamatkan perasaan itu adalah sangat susah. Saya hidup dalam keadaan sebegitu. Tolong beritahu yang saya sudah jalankan tugas dengan sebaiknya.

“Saya sudah bekerja dengan cukup keras dan pelbagai cabaran yang sudah saya tempuhi. Selamat tinggal,” itu antara bait-bait tulisan Jonghyun dalam ‘surat wasiatnya’ itu.

Ia sudah menjadi ‘open secret’ di kalangan bintang K-Pop yang mereka perlu menjalani pelbagai latihan keras selama bertahun-tahun, daripada segi gaya muzik, fesyen, diet dan cara pemakanan, semuanya ditentukan oleh syarikat pengurusan yang agak mengongkong dan mengawal segala pergerakan mereka.

Malah, ada juga di antara mereka dipaksa pihak pengurusan untuk pura-pura bercinta dengan rakan artis bagi memastikan populariti mereka kekal relevan dalam industri.

Beribu peminat Jonghyun mengerumuni hospital bagi memberi penghormatan terakhir terhadap bintang pujaan mereka yang dipercayai bunuh diri akibat tidak tahan dengan tekanan yang diberikan syarikat pengurusan agar terus kekal popular.

Menerusi laporan awal, Jonghyun dipercayai mati akibat terhidu asap beracun karbon monoksida dari arang yang sengaja dibakar di rumah sewanya. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button