• FOLLOW US
Cerita Artis, Hiburan

Lebaran Era Ini Tampilkan Barisan Penyanyi Popular Tanah Air

Ucapan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang tidak membenarkan sebarang pergerakan pulang ke kampung bagi menyambut hari raya Aidilfitri ternyata menjadi ayat ‘keramat’ Syawal tahun ini.

Malah, hari raya yang bakal disambut hujung minggu ini juga diraikan dalam suasana berbeza selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilanjutkan sehingga 9 Jun ini.

Namun, kehadiran 1 Syawal masih diraikan sebagai tanda kemenangan selepas sebulan kita berpuasa. Malah, kemeriahan Aidilfitri itu juga harus dirayakan dalam suasana penuh kesederhanaan.

Menyedari hakikat keadaan semasa, syarikat rakaman 17Eleven Music tampil dengan buah tangan baharu menerusi lagu raya, Lebaran Era Ini dengan kolaborasi bersama radio nombor satu, Era FM.

Lebaran Era Ini adalah hasil ciptaan sepenuhnya Kadok, Pown Hasril, Karim Karam dan Otromen.

Menariknya, lagu ini menampilkan barisan penyanyi popular tanah air seperti Siti Nordiana, Khai Bahar, Farahdhiya, Achey, Amir Masdi, Neon Band dan Dinda Permata.

Tidak ketinggalan, Ikhwan Fatanna, Syafiq Amdoi, Hakim Khan, Farisha Irish, Kamelia Syermain, Mimi Manan dan Iza’an (I Can See Your Voice).

Apa yang istimewa juga, buat julung kalinya projek 17Eleven Music ini menampilkan pembabitan barisan penyampai Era FM iaitu Dina Nadzir, Ray, Radin, Danial, Munabella dan Zahier.

Pengurus Rangkaian Kandungan Jenama Radio Melayu Astro, Nazri Noran berkata, lagu raya dan kolaborasi itu adalah idea daripada syarikat 17Eleven Music.

”Idea ini datang daripada syarikat 17Eleven Music sendiri. Mereka yang mengusulkan pada kami nak buat lagu raya. Namun begitu, disebabkan pergerakan terhad dan tidak boleh keluar rumah ketika itu, jadi mereka mencadangkan untuk rakam dari rumah masing-masing. Dari situ, kami berasakan cara itu senang. Kalau kena pergi studio banyak perkara tidak boleh buat. Kemudian, kami berbincang dan mereka pun okay. Asal saja tak perlu keluar rumah, ikut SOP dan kehendak kerajaan.

“Lagu ini, pada mulanya kami dengar dan nilaikan dulu. Selepas itu baru bincang pasukan mana yang sesuai untuk terbabit. Dari situlah kami buat pemilihan. Tidak semua pun penyampai Era yang terbabit. Kalau ikutkan, kami memang nak buat lagu baru, tapi dengan keadaan semasa ni memang tak sesuai. Apabila 17Eleven hadir dengan cadangan dan kena dengan keadaan sekarang, itu yang kami bersetuju. Malah, liriknya juga kena dengan keadaan semasa,” katanya.

Komposer Pown Hasril berkata, lagu berentak moderate itu sesuai dengan keadaan semasa dalam negara dan sambutan hari raya yang bakal menjelang tiba.

“Lagu ini moderate. Ia tidak terlampau perlahan dan tidak laju. Kalau terma muzikal kita panggil Andante Moderato. Tempo ini sangat sesuai untuk kita nak hadirkan kesayuan dan kegembiraan di hati yang tidak dapat nak beraya macam biasa. Tapi, tetal reda dengan apa yang terjadi sekarang.

“Pendek kata, lagu raya ini lain sikit. Sebab lagu ini dibuat khusus untuk raya kali ini yang disambut dalam tempoh PKPB. Kita nak ada ‘feel’ sayu, tapi dalam masa sama kita nak ada ‘feel’ raya,” katanya.

Berkongsi mengenai proses rakaman yang mana setiap penyanyi membuat rakaman di rumah masing-masing, Pown berkata ia sesuatu yang baru dan cabarang buat dirinya bersama rakan lain.

“Proses pembuatan lagu ini mengambil masa lebih kurang sebulan dari proses menyusun melodi dan lirik. Selepas itu kita pergi ke proses gubahan lagu kemudian baru proses rakaman.

“Rakaman vokal kesemuanya dibuat dari rumah masing-masing. Cabarannya ialah untuk memadankan suara yang berlainan kualiti agar dapat digabungkan menjadi satu paduan,” katanya.

Sementara itu, penyanyi, Siti Nordiana menyifatkan lagu Lebaran Era Ini adalah buah tangan terbaharu buat peminatnya.

“Alhamdulillah, saya berasa seronok dapat bergabung dengan artis lain dan penyampai Era FM. Lagu ini sesuatu yang baharu buat saya. Apatah lagi semuanya rakam sendiri termasuk video muzik. Ini satu pengalaman yang sangat berharga untuk saya.

“Ditambah pula saya sudah lama tidak ada lagu raya baharu. Jadi, ini macam buah tangan kepada peminat. Tapi, lagu ini memang menarik.

“Walaupun bahagian saya tak banyak, tapi rasa puas menyanyikan lagu ini dengan lirik yang sesuai dengan keadaan sekarang. Lebih kepada nak beri semangat dan kesedaran kepada orang ramai. Biarpun kita beraya seperti ini, tapi bersyukur dengan apa adanya,” katanya.

Bagi penyampai radio Era FM, Radin, berkata, projek ini memberikan pengalaman berbeza untuk dirinya.

“Apa yang menarik dan berbeza lagu raya ini adalah kami rakam dari rumah masing-masing. Ini lagu raya kedua buat saya. Sebelum ini Era pun ada juga lagu raya yang dicipta oleh Edry Abdul Halim. Kali ini bersama 17Eleven Music pula.

“Selepas selesai rakaman, kami rakam pula video muzik sendiri dengan ’mood’ raya dan lengkap berbaju raya. Semuanya dibuat dari rumah. Paling penting, lirik lagu raya ini kena dengan keadaan kita sekarang,” katanya – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend