Cerita ArtisHiburan

Lepas Viral Isu Hadiah Kereta, Zoey Rahman Akui Jenama Mika Series Semakin Melonjak

Pelakon dan usahawan Zoey Rahman mengakui isu viral mengenai hadiah kereta yang diterimanya baru-baru ini sedikit sebanyak telah melonjakkan jenama Mika Series miliknya itu.

Zoey berkata, sama ada positif atau negatif sesebuah publisiti itu, ia juga membantu promosi sesebuah produk.

“Seperti cerita tentang saya dapat hadiah kereta, orang ramai mula search di Internet tentang perniagaan yang saya jalankan.

“Alhamdulillah, pada ketika itu search Mika Series kat Google telah melonjak naik, meskipun saya kena hentam. Namun, masih ramai nak tau apa bisnes saya sampai staf belikan kereta untuk saya, jelasnya.

Zoey berkata demikian ketika ditemui semasa Majlis Pelancaran Palut’s Superhero, produk makanan ringan di mana dia menjadi duta untuk kudapan Banana Sangrai Crispy.

Turut hadir pada majlis berkenaan adalah Ketua Pengawai Eksekutif (CEO) Palut’s Food Sdn. Bhd., Ridzuan Ansar.

Sebelum ini, ramai yang mempersoalkan mengenai isu hadiah kereta yang diterima Zoey apabila ia dikatakan telah dihadiahkan staf syarikatnya sendiri.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai perkara tersebut, Zoey memberitahu kelulusan untuk membeli kereta tersebut adalah daripada adiknya sendiri yang juga merupakan salah seorang ahli lembaga pengarah syarikat.

Ujar Zoey, pada mulanya dia ada memarahi adiknya itu memandangkan syarikatnya memerlukan wang untuk promosi di stesen radio dan billboard.

“Kemudian adik saya jelaskan kereta itu di bawah nama syarikat. Jadi, kereta itu akan digunakan untuk urusan dan aktiviti syarikat, terutama di luar Lembah Klang.

“Lagipun dia kata sampai bila saya nak sewa van bawa barang-barang. Jadi, dia dan staf-staf saya telah merancang untuk membeli kereta berkenaan,” jelasnya.

Menurut Zoey, dia enggan ambil kisah terhadap cerita yang tersebar itu dan tidak mahu mempedulikan perkara-perkara yang boleh menjatuhkan.

“Alhamdulillah, sekarang ini Mika Series dah bertambah maju dan orang yang selama ini memperlekehkan saya terduduklah sekarang,” ujarnya.

Dalam pada itu, Zoey tidak menafikan ada yang memperlekehkan itu terdiri daripada rakan-rakannya sendiri.

“Sehinggakan ada seorang Rakan naik satu status dan anggap ia sebagai satu publisiti.

“Kemudian saya screenshoot status itu dah hantar kepadanya. Saya bagitau yang saya tak kisah apa orang nak cakap pun dan saya doakan rakan saya itu terus sukses,” ujarnya.

Menurutnya lagi, apa yang berlaku itu akan menjadi pembakar semangat kepada dirinya untuk lebih berjaya dalam perniagaan. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button