FilemTerkini

M4M4 Cecah Kutipan RM2.5 Juta Sejak Ditayangkan 6 Februari Lalu

Memasuki minggu kedua tayangan filem M4M4, naskhah hebat terbitan Da Motion Media itu kini sudah mencatatkan jumlah kutipan sebanyak RM2.5 juta.

Penerbitnya, Datin Norliza Samion berkata, pihaknya berasa teruja dengan sambutan hangat yang diberikan penonton sejak M4M4 mula ditayangkan pada 6 Februari lalu.

“Sudah tentu saya berasa gembira dengan sambutan memberansangkan yang diberikan peminat filem tempatan. Di sebalik kerisauan mengenai Coronavirus, penonton tetap keluar menonton filem ini. Keunikan serta kekuatan jalan cerita M4M4 menjadi penyebab utama mereka turun memberikan sokongan dengan menonton filem ini.

“Penonton yang sudah menonton pun memberikan komen-komen memberansangkan di media sosial masing-masing sekali gus ia membantu mempromosikan lagi filem ini kepada orang ramai di luar sana. Ini membuktikan filem bergenre sebegini turut digemari penonton,” katanya.

Membariskan pelakon hebat seperti Nabila Huda, Bella Dowanna, Faizal Hussein, Kodi Rasheed, Niezam Zaidi, Ungku Hariz, Eyra Hazali dan Izzy Reef, filem arahan Eyra Rahman itu memaparkan genre horror thriller.

Disebabkan sambutan menggalakkan, pihak penerbitan juga berkata mereka dalam perancangan untuk menerbitkan sequel filem M4M4.

“Kita mungkin boleh olah jalan cerita selepas kisah pembalasan dendam si ibu, itu semua masih dalam perancangan kami untuk menerbitkan M4M4 2,” katanya lagi.

M4M4 memaparkan kisah seorang ibu tunggal yang ingin membalas dendam di atas kematian tragik anak gadisnya yang dirogol sekumpulan samseng.

Bakal memasuki minggu ketiga tayangan mulai esok, filem M4M4 akan terus ditayangkan di 101 pawagam di seluruh negara. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button