• FOLLOW US
Cerita Artis, Hiburan

Mafarikha Akui Dah Bercerai, Kini Mahu Fokus Karier Seni

Penyanyi Mafarikha Md Akhir yang sebelum ini meraih perhatian ramai pihak menerusi penyertaannya dalam Asia’s Got Talent 2018, mengakui pernah melalui episod gelap dalam kehidupannya tahun lalu apabila mengalami kegagalan dalam perkahwinan.

Menurut penyanyi berumur 28 tahun itu, dia pernah mengurung diri kerana tidak sanggup berdepan pertanyaan ramai selepas rumah tangga tidak bertahan lama namun berkat sokongan keluarganya, Mafarikha kini nekad untuk bangkit semula.

Penyanyi yang dicungkil bakatnya menerusi program Vokal Bukan Sekadar Rupa itu berkahwin dengan Muhamad Yusuf Osman pada 2016 selepas tiga tahun bercinta.

“Jodoh kami cuma sampai setakat itu dan berpisah sekitar awal 2019, selepas hampir tiga tahun mendirikan rumah tangga. Sebelum ini, ramai yang tertanya-tanya status saya, malah ada yang mengajukan perkara itu menerusi ruangan komen di Instagram, selain menghantar mesej langsung (DM).

“Saya akui, provokasi dari luar memang menyakitkan hingga saya terperuk di dalam bilik, selain enggan menjawab panggilan telefon. Tekanan ketika itu sangat kuat.

“Alhamdulillah, keluarga banyak memberikan sokongan dan sentiasa menyuntik semangat hingga saya mampu bangkit serta berdiri semula seperti hari ini,” katanya pada majlis makan malam produk kecantikan Herv Natural yang diadakan di The Love, Matic Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tidak mudah patah semangat, Mafarikha mahu memberikan sepenuh perhatian terhadap kerjaya seninya apabila dia kini berada di bawah naungan Luncai Emas milik Datuk M. Nasir.

“Saya harap kerjaya nyanyian dapat kembali rancak. Buat masa ini, saya banyak menulis lagu. Insya-Allah, saya bakal menyiapkan single baharu sempena kedatangan 2020,” katanya.

Sementara itu, majlis makan malam Herv Natural yang bertemakan Night of Saka itu meraikan para leader dan agen Herv seramai lebih 200 orang. Menurut Ketua Pengarah Eksekutif dan Pengasas Herv, Hera Helmi, Herv yang dilancarkan di Dubai pada Mei 2018 bakal memasuki pasaran Indonesia bersempena kedatangan tahun baru.

“Produk Herv adalah bersih dan suci kerana ia 70 peratus berasaskan bahan-bahan semula jadi iaitu buah-buahan dan juga bunga-bungaan.

Bagi saya kesihatan kulit wajah lebih penting daripada pemutihan kulit. Sesuai untuk semua jenis kulit malah wanita berkulit gelap mahupun cerah boleh menggunakan produk Herv,” katanya.

Kesemua rangkaian produk Herv adalah 100 peratus bebas haruman selain tidak merengsakan kulit. – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend