• FOLLOW US
Event, Hiburan

Malam Kemala Irama Angkat Kegemilangan Lagu Tradisional Siti Nurhaliza

Memasuki tahun kedua, program yang menjadi ‘signature event’ Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Malam Kemala Irama 2.0 (MKI 2.0) bakal diadakan selama dua hari pada 20 dan 21 September ini di Panggung Eksperimen Aswara bersempena meraikan sambutan ulang tahun ke-25 penubuhan Aswara.

Penyelaras projek di bawah program Pusat Seni Pentas Tradisional (PUTRA), Juhara Ayob berkata tahun ini pihak Aswara mahu mengembali serta memartabatkan semula kegemilangan lagu-lagu tradisional nyanyian penyanyi no.1 negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah Aswara.

“Persembahan MKI 2.0 kali ini adalah bersifat apresiasi terhadap kesenian lagu tradisional dan akan disampaikan menerusi persembahan muzik dan nyanyian tradisional. Jika tahun lalu, Aswara memberikan tribute kepada ratu etnik kreatif, Noraniza Idris, tahun ini kami mengangkat pula Datuk Seri Siti Nurhaliza yang cukup terkenal dengan alunan lagu-lagu tradisionalnya juga.

“Aswara ingin memberi pendedahan kepada penonton yang hadir ke MKI 2.0 dengan lagu-lagu tradisional dendangan Siti dan kami memegang tanggungjawab untuk menaikkan semula lagu-lagu bergenre begini di kalangan anak muda termasuk juga pelajar Aswara,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis sidang media Malam Kemala Irama 2.0 yang diadakan di Lobi Galeri Aswara, Kuala Lumpur semalam.

Pada malam persembahan itu, penonton akan dihiburkan dengan semua lagu nyanyian Siti yang akan didendangkan oleh barisan alumni Aswara yang sememangnya cukup berbakat serta penampilan istimewa daripada Asmidar Ahmad dan anak saudara Siti, Umai yang juga merupakan peserta program Ceria Megastar Ministar.

Teruja terlibat dalam persembahan itu, Asmidar berkata dia cukup mengagumi Siti dan akan cuba memberikan persembahan terbaik agar momen itu akan terus dikenang sebagai satu portfolio terbaik dalam kerjaya seninya.

“Saya memang membesar dengan lagu-lagu dendangan Datuk Siti dan pada malam itu saya rasa sedikit mencabar untuk menyanyikan lagu balada Purnama Merindu yang akan digubah menjadi lagu tradisional tapi apa-apa pun saya akan cuba buat yang terbaik pada malam itu.

“Selain Purnama Merindu, saya juga akan menyanyikan lagu tradisional Datuk Siti berjudul Mahligai Permata yang juga akan dieksperimentasikan dengan genre lagu latin. Nantikan sahaja persembahan pada malam itu nanti ya!” ujarnya teruja.

Sementara itu, Umai atau nama sebenarnya, Umairah, 8, berkata dia cukup gembira diberi peluang untuk bersama-sama menyanyikan lagu ibu saudaranya yang juga merupakan idolanya dalam bidang seni suara.

“Saya gembira dipilih pihak penganjur untuk konsert pada malam itu nanti dan sudah tidak sabar untuk menghiburkan penonton dengan lagu nyanyian Mak Iti. Walaupun ada beberapa bahagian dalam lagu Mak Iti agak sukar dinyanyikan tapi saya akan cuba buat yang terbaik,” katanya.

Selain Asmidar dan Umai, MKI 2.0 akan turut disertai 10 graduan Fakulti Muzik Aswara iaitu Edie Nazrin, Fitri Hiswandy, Ezdianie Hayatie, Iqqa Ahmad, Mira Rahim, Aruel Ariel, Hazra, Ayrina Norzarina, Abby Sabiha dan Ajude.

Tiket persembahan berdurasi dua jam bermula 8.30 malam itu dijual pada harga RM30 dan RM20 serta RM10 bagi pelajar Aswara. Tiket-tiket boleh didapati di pekarangan lobi Aswara pada hari persembahan atau dengan menghubungi talian 03-27785999 / 03-27786062 atau 03-27786065. – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend