• FOLLOW US

Tari ’19 Aswara Angkat Seni Kebudayaan Malaysia Di Mata Asia

Memasuki tahun ke-10 penganjuran, Festival Tari Antarabangsa 2019 Aswara (Tari ’19 Aswara) kali ini mengangkat tema Renewal Dance in the 21st Century.

Malam Gala Tari ’19 Aswara bakal diadakan pada 19 Oktober ini bertempat di Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur.

Menurut Dekan Fakulti Tari Aswara, Norsafini Jaafar, tema itu dipilih bagi menggambarkan situasi masa kini di mana seluruh dunia berhadapan dengan pelbagai cabaran. Namun dalam masa yang sama berjaya mengecapi kejayaan, perkembangan dan kemajuan serta konflik.

“Untuk tahun ini, Festival Tari Antarabangsa akan memperlihatkan penglibatan sebanyak 11 buah universiti dari seluruh Asia bagi menterjemahkan tarian bertemakan Renewal Dance in the 21st Century.

“Pihak Aswara telah memilih 11 universiti ini yang merupakan antara institusi pengajian tinggi terbaik dalam subjek pengkhususan tarian.

“Bagi pasukan Fakulti Tari Aswara, kami telah merencanakan sebuah persembahan tarian yang mempersembahkan warna-warni seni dan kebudayaan masyarakat majmuk Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum agar dapat menonjolkan keunikan negara kita kepada masyarakat luar,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis sidang media Festival Tari Antarabangsa 2019 Aswara yang diadakan di Galeri Aswara, Kuala Lumpur semalam.

Majlis itu turut dihadiri Rektor Aswara, Profesor Madya Sahar Sa’di Hashim.

Selain persembahan tarian daripada pelajar universiti, Tari ’19 Aswara turut mengadakan beberapa program lain seperti seminar, meja bulat perbincangan dan masterclass yang turut membabitkan penglibatan alumni Aswara sendiri yang akan berlangsung dari 15 hingga 19 Oktober depan.

Antara universiti yang mengambil bahagian dalam Tari ’19 Aswara ialah Guangxi Arts University dari China, Universitas Surabaya (Indonesia), Sapphire Creation Dance Company (India), Natanda Dance Theatre (Sri Lanka), Nanyang Academy of Fine Arts (Singapura), University of the Philippines (Filipina), Taipei National University of the Arts (Taiwan), Chulalongkorn University (Thailand), Cambodian Living Arts (Kemboja), The Hong Kong Academy for Performing Arts (Hong Kong) dan Korea National University of the Arts (Korea Selatan). – KopiPlanet.com

Malam Kemala Irama Angkat Kegemilangan Lagu Tradisional Siti Nurhaliza

Memasuki tahun kedua, program yang menjadi ‘signature event’ Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Malam Kemala Irama 2.0 (MKI 2.0) bakal diadakan selama dua hari pada 20 dan 21 September ini di Panggung Eksperimen Aswara bersempena meraikan sambutan ulang tahun ke-25 penubuhan Aswara.

Penyelaras projek di bawah program Pusat Seni Pentas Tradisional (PUTRA), Juhara Ayob berkata tahun ini pihak Aswara mahu mengembali serta memartabatkan semula kegemilangan lagu-lagu tradisional nyanyian penyanyi no.1 negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah Aswara.

“Persembahan MKI 2.0 kali ini adalah bersifat apresiasi terhadap kesenian lagu tradisional dan akan disampaikan menerusi persembahan muzik dan nyanyian tradisional. Jika tahun lalu, Aswara memberikan tribute kepada ratu etnik kreatif, Noraniza Idris, tahun ini kami mengangkat pula Datuk Seri Siti Nurhaliza yang cukup terkenal dengan alunan lagu-lagu tradisionalnya juga.

“Aswara ingin memberi pendedahan kepada penonton yang hadir ke MKI 2.0 dengan lagu-lagu tradisional dendangan Siti dan kami memegang tanggungjawab untuk menaikkan semula lagu-lagu bergenre begini di kalangan anak muda termasuk juga pelajar Aswara,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis sidang media Malam Kemala Irama 2.0 yang diadakan di Lobi Galeri Aswara, Kuala Lumpur semalam.

Pada malam persembahan itu, penonton akan dihiburkan dengan semua lagu nyanyian Siti yang akan didendangkan oleh barisan alumni Aswara yang sememangnya cukup berbakat serta penampilan istimewa daripada Asmidar Ahmad dan anak saudara Siti, Umai yang juga merupakan peserta program Ceria Megastar Ministar.

Teruja terlibat dalam persembahan itu, Asmidar berkata dia cukup mengagumi Siti dan akan cuba memberikan persembahan terbaik agar momen itu akan terus dikenang sebagai satu portfolio terbaik dalam kerjaya seninya.

“Saya memang membesar dengan lagu-lagu dendangan Datuk Siti dan pada malam itu saya rasa sedikit mencabar untuk menyanyikan lagu balada Purnama Merindu yang akan digubah menjadi lagu tradisional tapi apa-apa pun saya akan cuba buat yang terbaik pada malam itu.

“Selain Purnama Merindu, saya juga akan menyanyikan lagu tradisional Datuk Siti berjudul Mahligai Permata yang juga akan dieksperimentasikan dengan genre lagu latin. Nantikan sahaja persembahan pada malam itu nanti ya!” ujarnya teruja.

Sementara itu, Umai atau nama sebenarnya, Umairah, 8, berkata dia cukup gembira diberi peluang untuk bersama-sama menyanyikan lagu ibu saudaranya yang juga merupakan idolanya dalam bidang seni suara.

“Saya gembira dipilih pihak penganjur untuk konsert pada malam itu nanti dan sudah tidak sabar untuk menghiburkan penonton dengan lagu nyanyian Mak Iti. Walaupun ada beberapa bahagian dalam lagu Mak Iti agak sukar dinyanyikan tapi saya akan cuba buat yang terbaik,” katanya.

Selain Asmidar dan Umai, MKI 2.0 akan turut disertai 10 graduan Fakulti Muzik Aswara iaitu Edie Nazrin, Fitri Hiswandy, Ezdianie Hayatie, Iqqa Ahmad, Mira Rahim, Aruel Ariel, Hazra, Ayrina Norzarina, Abby Sabiha dan Ajude.

Tiket persembahan berdurasi dua jam bermula 8.30 malam itu dijual pada harga RM30 dan RM20 serta RM10 bagi pelajar Aswara. Tiket-tiket boleh didapati di pekarangan lobi Aswara pada hari persembahan atau dengan menghubungi talian 03-27785999 / 03-27786062 atau 03-27786065. – KopiPlanet.com

Pementasan Teater Tanah Akhirku Sempena Bulan Kemerdekaan

Bermula sebagai projek untuk penilaian projek tahun akhir di Aswara, akhirnya teater berjudul Tanah Akhirku bakal dipentaskan di Panggung Sari Istana Budaya pada 28 Ogos hingga 2 September 2018.

Penerbitnya, Mei Fen Lim berkata, teater Tanah Akhirku merupakan projek tahun akhirnya sebagai pelajar di Aswara yang telah dipentaskan pada bulan Januari lalu.

“Teater ini merupakan adaptasi daripada kisah benar dan saya berterima kasih kepada pihak Istana Budaya yang telah memberikan kepercayaan kepada saya untuk menerbitkannya.

“Boleh dikatakan Tanah Akhirku ini memberi makna yang cukup besar buat diri saya, malah gembira apabila pementasan ini turut mendapat sokongan daripada rakan-rakan di Aswara,” ujarnya ketika ditemui semasa majlis pelancaran minggu lalu.

Diarahkan oleh pengarah Ashraf Zainal, teater tersebut turut membariskan beberapa pelakon lain seperti Erma Fatima, Izzue Islam, Nina Nadira, Nave VJ, Angeline Tan dan Mei Fen sendiri.

Ia mengisahkan tentang perjalanan hidup seorang gadis yang berasal dari tanah besar China iaitu Yin Feng yang datang ke Tanah Melayu untuk mencari kehidupan baharu bersama ibu dan adiknya.

Ditanya tentang cabarannya untuk menerbitkan teater berkenaan, Mei Fen memberitahu setiap cabaran yang datang tidak pernah melunturkan semangatnya.

“Bukan mudah untuk menerbitkan teater kerana memerlukan modal yang besar dan cabarannya sudah tentu apabila pihak penaja menarik diri pada saat-saat akhir.

“Namun begitu, ia tidak melemahkan semangat saya kerana teater ini memberikan makna tersendiri. Jika sebelum ini, saya hasilkan teater ini sebagai pelajar, kini saya tampil pula selaku penerbit,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani berkata, teater Tanah Akhirku ini bersesuai untuk dipentaskan sempena bulan kemerdekaan.

“Pihak kami berasakan naskhah teater ini bersesuaian untuk dipentaskan pada bulan Ogos bagi menyemarakkan lagi rasa cinta kepada negara.

“Elemen-elemen kemerdekaan dan cinta kepada negara yang terkandung dalam teater ini juga bakal menaikkan lagi rasa patriotisme penonton,” jelasnya.

Tanah Akhirku akan dipersembahkan dalam bahasa Melayu, China dan Inggeris dengan sarikata bahasa. Tiket-tiket berharga RM40, RM60, RM110, RM150, RM200, RM250 dan RM350 sudah boleh dibeli sejak 13 Julai lalu menerusi laman web http://airasiaredtix.com. – KopiPlanet.com