• FOLLOW US
Cerita Artis, Hiburan

Mamat Exists Mohon Maaf & Bakal Masuk Pusat Pemulihan

Vokalis kumpulan Exists, Mamat atau nama sebenarnya Mohd Ali Kamarudin, 42, memohon maaf dan berjanji tidak akan mengulangi lagi kesalahannya di masa akan datang berhubung kes penangkapan dadah melibatkan dirinya baru-baru ini.

Mamat dibebaskan daripada tahanan reman dengan jaminan polis selepas ditahan malam Ahad lalu bagi membantu siasatan kerana memiliki dadah.

Menurut Mamat, dia rasa bersalah kerana mengecewakan ahli kumpulannya dan peminat dan sehubungan itu dia rela hati ingin memasuki pusat pemulihan sebaik sahaja Konsert Reunion Exists di Malaysia dan Singapura selesai diadakan.

“Saya mohon maaf kepada peminat dan pihak media yang sudah menguar-uarkan konsert ini. Semua yang berlaku ini di luar jangkaan saya dan saya berjanji akan berikan yang terbaik semasa konsert reunion itu nanti.

“Saya tidak boleh beri komen lanjut mengenai hal penangkapan itu kerana masih berada di bawah siasatan polis.

“Saya juga akan memasuki pusat pemulihan buat kali pertama kerana ingin membebaskan diri daripada dadah agar kesilapan lama tidak berulang lagi. Saya harapkan sokongan dan dorongan anda di luar sana,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis sidang media yang diadakan di Hotel Alila, Bangsar, Kuala Lumpur hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Shiraz Projects, Shirazdeen Karim memberi jaminan Mamat akan tetap muncul dalam konsert reunion seperti yang telah dirancangkan.

“Mamat akan tetap muncul dalam konsert ini kerana tanpa Mamat tak lengkap Konsert Exists Reunion.

“Dia dibebaskan dengan jaminan polis dan kesnya akan mengambil masa dalam beberapa bulan dan saya yakin dan menaruh separuh kepercayaan dia akan muncul pada malam konsert itu nanti,” katanya.

Konsert Reunion Exists akan diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam pada 28 September ini.

Exist yang ditubuhkan pada 1991 dianggotai oleh Mamat dan Ezad selaku vokalis, Ajai (keyboardist), Shah (pemain gitar), Musa (pemain bass), Along (pemain gitar) dan Ujang (pemain drum).

Konsert Reunion Exists juga akan diadakan di The Theatre Mediacorp, Singapura pada 5 Oktober ini. – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend