
Masih Belum Ada Pengganti, Aliff Aziz Akui Dalam Fasa Hidup Bahagia
Pelakon dan penyanyi popular, Aliff Aziz memaklumkan setakat ini dia masih belum menjumpai pengganti setelah bercerai dengan bekas isterinya, Bella Astillah.
Aliff berkata, setakat ni dia masih dalam proses untuk memperbaiki diri dan mengakui hidup dalam keadaan bahagia bersama ahli keluarganya di Singapura.
“Kalau tanya saya dah jumpa pengganti atau belum… jawapan saya belum. Cuma saya boleh katakan kini sedang melalui kehidupan yang membahagiakan.
“Di sebalik kebahagiaan itu, saya dalam fasa untuk perbaiki diri sendiri. Apapun saya mahu menjadi seorang yang lebih baik dalam lingkungan kehidupan sekarang,” jelasnya.
Aliff berkata demikian ketika ditemui semasa majlis Sidang Media Havoc Trio Festival 2025 yang berlangsung semalam.
Pada masa sama, Aliff menjelaskan dia enggan untuk terlalu berkongsi mengenai kisah peribadi kerana tidak sebarang kenyataannya di salah tafsir.
Jelasnya, soal berkaitan cinta atau pun hubungannya dengan anak-anak ketika ini bukanlah suatu yang boleh untuk diperkatakan kepada khalayak.
“Saya rasa soalan berkenaan cinta atau anak-anak, mungkin saya tak perlu ulas lebih lanjut kerana saya rasa ia bukanlah sesuatu yang penting.
“Lagipun saya tidak mahu sebarang jawapan yang diberikan atas soalan yang ditanya, akan menjadi perbualan sesama netizen dengan pelbagai tafsiran,” ujarnya.
Mengenai kerjaya seninya, artis kelahiran Singapura itu memberitahu masih lagi banyak menerima tawaran nyanyian dan bakal muncul dengan sebuah single baharu tidak lama lagi. – KopiPlanet.com



