• FOLLOW US
Cerita Artis, Hiburan

Menyepi Seketika, Najwa Latif Kini Tampil Dengan Tak Kisah Pun

Setelah menyepi seketika daripada dunia seni lantaran memberi tumpuan kepada pengajian di universiti, kini Najwa Latif kembali semula dengan buah tangan baharu buat peminat.

Najwa yang mengambil Sarjana Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) di Universiti Malaya (UM) dan berakhir pada Oktober tahun lalu telah muncul dengan single Tak Kisah Pun.

“Pada awalnya saya merancang mengeluarkan single baharu pada Januari lalu, tetapi disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), rancangan tersebut terpaksa ditunda. Kemudian tanpa dirancang iaitu sekitar Mac lalu saya mendapat idea menghasilkan lagu Tak Kisah Pun.

“Perjalanan dan pembikinan lagu ini sangat santai, semuanya dihasilkan dalam tempoh PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Sebenarnya, versi akustik lagu ini sudah muat naik di YouTube. Disebabkan ramai yang suka, kami setuju untuk merakamkannya.

Istimewanya, Najwa berkata untuk single berkenaan juga dia menampilkan penyanyi RAP baharu Akwa Arifin setelah tertarik dan meminati karya-karya Akwa di YouTube.

Ujarnya, lagu Tak Kisah Pun dihasilkan oleh dia dan adik-beradik yang menggelarkan diri mereka sebagai Ellgee, manakala liriknya dihasilkan dengan kerjasama Akwa dan ia berkisar mengenai menerima seseorang itu seadanya.

“Sudah tentu saya amat teruja dengan single terbaharu ini, tambahan pula ini merupakan produk sulung dari syarikat rakaman saya sendiri iaitu NL Entertainment,” jelasnya yang kali terakhir keluar dengan single Kau Lupa Itu Aku pada tahun lalu.

Dalam pada itu, penyanyi yang mula popular dengan lagu Cinta Muka Buku menyatakan kini dia sibuk dengan kerjayanya sebagai pensyarah subjek Bahasa Inggeris di UNITAR International University.

“Kini sudah lebih dua tahun saya mengajar dan secara jujurnya saya gembira dengan apa yang saya usahakan sekarang ini,” katanya yang turut mengusahakan perniagaan tudung jenamanya sendiri iaitu ‘Najwal’. – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend