FilemTerkini

Misteri Dilaila Ketengah Plot Twist Yang Tak Dijangka, Memang Misteri!

Tajuk: Misteri Dilaila
Tarikh Tayangan: 21 Februari 2019
Durasi: 1 jam 22 minit
Genre: Seram / Thriller
Pengarah: Syafiq Yusof
Pelakon: Zul Ariffin, Elizabeth Tan, Sasqia Dahuri, Datuk Rosyam Nor, Namron, Mas Khan, Kenji Sawahi, Iz Sulaini
Klasifikasi: P13

Pengarah muda, Syafiq Yusof kembali mewarnai industri perfileman tempatan menerusi arahan terbaharunya, Misteri Dilaila.

Filem bergenre seram/thriller ini ternyata memberi nafas baharu buat karya filem tempatan apabila pengakhiran ceritanya yang cukup lari daripada cliche dan plot penceritaan yang jarang-jarang diketengahkan pengarah lain.

Harus diakui Syafiq mempunyai visi dan misi yang tersendiri selain nampak hasil usaha dan kerja kerasnya yang rajin membuat kajian dengan menonton filem-filem bercorak seram / thriller daripada negara luar seperti di Eropah dan Korea Selatan.

Bukan meniru, sebaliknya anak bongsu Datuk Yusof Haslam ini hanya mengambil sedikit intipati seperti hiasan dalam rumah banglo yang sering kali sinonim dengan filem-filem seram keluaran negara luar.

Secara keseluruhannya, selepas menyaksikan filem anda pasti akan berasa kagum dengan plot twist yang tidak dijangka sebaik dibongkar pada akhir cerita.

Para pelakon juga cukup memberikan rasa dalam lakonan mereka lebih-lebih lagi watak yang dimainkan Zul Ariffin dan Datuk Rosyam Nor yang banyak bermain dengan emosi.

Malah, boleh dikatakan mereka perlu banyak kali memekik dalam filem ini kerana sering kali terlibat dalam perbalahan yang cukup membuatkan penonton tertanya-tanya di manakah misteri keberadaan Dilaila.

Tidak mudah untuk meneka siapakah sebenarnya dalang kepada semua misteri tersebut kerana Syafiq bijak mewarnakan plot penceritaannya agar ia menjadi tanda tanya sehingga ke pengakhirannya.

Babak-babak seram yang ditonjolkan juga cukup menaikkan bulu roma dan setiap ‘jump scares’ yang ditunjukkan memang kena dengan jalan cerita dan tidak mengarut atau sekadar untuk tangkap muat bagi mencantikkan filem tersebut.

Penulis yakin pasti ada penonton yang akan melompat terkejut melihat beberapa babak seram dalam filem ini kerana ia dibuat cukup menyakinkan!

Filem kesembilan arahan Syafiq ini berkisarkan tentang Jefri yang kehilangan isterinya, Dilaila sewaktu mereka bercuti di rumah persinggahan keluarga Dilaila di Fraser Hill, Pahang. Sejak kehilangan Dilaila, Jefri sering diganggu pelbagai kejadian aneh semasa berusaha mencari isterinya.

Imam Aziz memaklumkan yang Dilaila sudah ditemui namun Jefri terkejut kerana dia mendapati wanita itu bukan isteriya, tetapi wanita itu mengakui dirinya sebagai Dilaila.

Misteri Dilaila ditayangkan di 131 pawagam di Malaysia, Singapura dan Brunei bermula hari ini (21 Februari). – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button