Cerita ArtisHiburan

Muncul Dengan Single Lupa, Dua Rapper Brunei WhoSyah & Swanz Mahu Cuba Tembusi Industri Muzik Malaysia

Boleh dikatakan tidak ramai penyanyi dari negara Brunei Darussalam yang dapat menembusi industri hiburan di Malaysia, terutama sekali penyanyi.

Bagaimanapun, ia bukan satu penghalang buat dua rapper kelahiran negara berkenaan iaitu WhoSyah dan Swanz untuk lebih dikenali di negara ini.

Bagi Swanz, dia dan WhoSyah sememangnya mahu mengembangkan karier nyanyian mereka di Malaysia memandangkan pasaran di Brunei yang agak kecil dan terhad.

“Sebenarnya kami merancang untuk tembusi industri muzik di Malaysia sejak akhir tahun 2020. Lagipun saya serta WhoSyah dan seorang lagi rakan artis iaitu Asmai memang kenal ramai artis di Malaysia.

“Cuma lagu-lagu kami belum dikenali lagi dan kami pun memang ada perancangan untuk buat persembahan di Malaysia, tetapi pandemik Covid-19 menjadi penghalang utama,” jelasnya.

Ujar Swanz, sebagai langkah permulaan, mereka terpaksa membuat kolaborasi dengan artis Malaysia menerusi dalam talian.

Sementara itu, mengenai perkembangan terbaharu pula, kedua-duanya kini telah tampil dengan kolaborasi bersama menerusi single terbaharu berjudul Lupa.

Swanz berkata, Lupa yang dicipta dengan bunyi gitar dan rentak ‘trap’ itu mengisahkan tentang seseorang yang cuba melupakan kenangan pahit yang pernah dilalui.

“Sebenarnya lagu Lupa ini lebih kepada kenangan pahit yang dilalui WhoSyah. Dia banyak bercerita kepada saya mengenai pengalamannya dan saya menjadi pendengar seti serta cuba merası apa yang dilaluinya.

“Kemudian kami ambil keputusan untuk menjadikan kisah yang dilalui WhoSyah ini dijadikan sebuah lagu,” ujarnya yang menyatakan rakaman lagu berkenaan dibuat pada bulan Jun lalu.

Jelasnya lagi, lagu Lupa ini juga merupakan single kedua buat WhoSyah setelah lagu pertama iaitu Lepaskan sebelum album sulungnya yang akan dikeluarkan pada awal tahun 2022 nanti.

“Kami berharap dengan kemunculan lagu Lupa ini, peminat-peminat muzik di Malaysia lebih tahu dan menghargai lagu-lagu artis Brunei serta dapat menjalinkan lebih banyak kolaborasi dengan penyanyi-penyanyi di negara ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, serba sedikit mengenai kedua-dua penyanyi berkenaan, WhoSyah pertama kali memulakan kerjaya muziknya dengan bantuan Swanz pada April 2020 dengan beberapa lagu yang tidak rasmi seperti Tanya dan X Kesah.

Lama-kelamaan gaya muzik dan nyanyian WhoSyah semakin berkembang dengan konsisten sejak dia mula bekerjasama rapat dengan Swanz serta terkenal dalam kalangan rakan-rakannya sebagai The Kid LAROI dari Brunei.

Manakala Swanz pula memulakan perjalanan muziknya pada tahun 2017 dengan beberapa kolaborasi termasuk No Clue [feat. Quai] dan Onana [feat. Yonnyboii] dan sebuah album dengan Riff bertajuk Under Control.

Baru-baru ini, dia juga menghasilkan semula ‘LOTUS’ Remix versi Brunei yang masih mendapat sambutan ramai dan kini Swanz sedang giat menghasilkan lagu-lagu untuk Asmai. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
2
+1
5
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button