Cerita ArtisHiburan

Nabil Bawa Peminat Tunai Umrah Dan Puasa Di Mekah

Sempena meraikan ulang tahun ke-10 penglibatannya dalam bidang seni, pelawak dan hos popular Nabil Ahmad berhasrat membawa bersama peminatnya untuk mengerjakan ibadah umrah pada bulan puasa ini.

Menurut Nabil, dia sudah lama berhasrat untuk melakukan suatu aktiviti yang dapat membawa manfaat kepada dirinya dan peminat yang sentiasa menyokong kerjaya seninya selama sedekad ini.

“Ini adalah hadiah istimewa untuk mereka (peminat setia) kerana tanpa mereka, saya tidak akan berada pada tahap sekarang.

“Jadi, saya ingin peminat untuk sama-sama mengerjakan umrah bersama saya. Ini merupakan kali pertama saya buat umrah dengan penganjur, sebelum ini saya pergi sendiri-sendiri sahaja, jadi di kesempatan ini saya ingin mengajak sekali peminat untuk merasai sendiri pengalaman mengerjakan umrah yang pastinya menjadi impian semua untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci Mekah,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada sidang media Sedekad My Story Nabil Ahmad Dalam Industri di Hotel Sunway Putra, Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Nabil, rombongan umrah itu dijangka berlepas pada 13 Mei ini sekali gus berpeluang merasai pengalaman berpuasa di Mekah.

Program umrah bersama Nabil dianjurkan oleh Urban Platinum Resources.

“Tawaran dibuka hari ini dan nama peminat yang terpilih mengerjakan umrah bersama saya akan diumumkan pada Majlis Ulang Tahun Ke-10 saya dalam industri pada 24 Mac ini,” kata bapa kepada dua cahaya mata ini.

Peminat yang berminat untuk mengikutinya, boleh menghubungi talian hotline 019-3716252 untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan perkara terbabit.

Sementara itu ketika diminta mengulas mengenai rahsia Nabil bertahan selama 10 tahun dalam industri, anak kelahiran Mambau, Negeri Sembilan ini berkata sikap merendah diri yang sentiasa diamalkannya telah membawanya sehingga ke tahap ini.

“Prinsip saya hanyalah be humble. Itu yang saya tekankan sejak masuk dalam industri. Bukan nak kata tak boleh diva, boleh kalau nak diva tapi kena tengok pada keadaan. Janganlah setiap masa nak diva.

“Bagi saya buat apa nak menyombong sebab saya sendiri sudah melalui fasa kehidupan yang susah, bila mana hanya tinggal RM5 sahaja dalam poket saya setiap hari.

“Alhamdulilah, bila kehidupan saya sekarang sudah sedikit senang, ini adalah masa untuk saya pula membantu mana-mana pihak yang memerlukan. Kita kena ingat dalam rezeki kita tidak 100 peratus itu milik kita, ada bahagian untuk orang lain juga,” katanya lagi.

Menjadikan Datuk Yusof Haslam dan Datuk Rosyam Nor sebagai idolanya, Nabil, 35, berharap dia akan dapat bertahan dalam industri untuk jangka masa sehingga 30 tahun lagi.

“Bukan mudah untuk bertahan dalam industri, tapi macam saya katakan tadi kalau sentiasa merendah diri, boleh bawa berbincang dan jaga hubungan dengan semua pihak, tak mustahil seseorang artis itu akan terus diminati oleh peminat mereka,” katanya lagi yang akan menjemput 4,000 peminat bagi sama-sama meraikan ulang tahun ke-10 pembabitannya dalam industri pada 24 Mac ini di mana lokasi majlisnya akan diberitahu kelak. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button