Cerita ArtisHiburan

Nabil Ahmad Kini Semakin Mendekatkan Diri Dengan Agama

Selepas sedekad mengabdikan diri sebagai anak seni, pelawak dan pengacara terkenal, Nabil Ahmad, 35, berkata kini sudah tiba masanya untuk dia lebih mendekatkan diri dengan agama.

Semuanya bermula selepas dia menonton sebuah video tazkirah daripada seorang ustaz mengenai petanda akhir zaman yang sudah semakin jelas berlaku pada masa kini.

“Kita hidup ini bukan lama. Lepas tengok video tazkirah tersebut memang saya akui ia beri kesan yang agak besar pada perubahan diri saya. Dalam video itu, ustaz tersebut berkongsikan anggaran bila kiamat akan berlaku dan hanya amal soleh yang boleh membantu kita di akhirat kelak.

“Sejak itu, saya semakin jaga solat.  Kalau dulu dah nak hujung-hujung habis waktu baru nak sembahyang. Sekarang ni masuk waktu sahaja memang saya akan dahulukan solat. Itu antara perubahan positif yang saya boleh lihat dalam diri,” kata Nabil kepada KopiPlanet.com.

Nabil ditemui pada majlis kesyukuran dan doa selamat sempena sedekad dirinya dalam industri seni yang diadakan di Colosseum Events, Shah Alam baru-baru ini.

Walaupun makin menjinakkan diri ke arah agama, namun Nabil mempunyai pendiriannya tersendiri berhubung penghijrahan yang sedang dilaluinya kini.

Enggan terlalu mewar-warkan tentang perkara tersebut, sebaliknya Nabil lebih selesa peminat melihatnya sebagai seorang penghibur seperti yang dikenali mereka sebelum ini.

“Bagi saya sekiranya kita ingin berubah ke arah kebaikan, perkara itu tidaklah harus diheboh-hebohkan. Saya bagi contoh, tak perlulah kita nak tunjuk alim kat Instagram, ni nak solat pun nak muatnaik kat media sosial.

“Hal-hal ini macam biar jadi urusan kita dengan Allah sahaja. Nak buat benda baik tak perlu tunjuk dekat orang. Saya sendiri pun tidaklah terus berubah mendadak sebaliknya perlahan-lahan saya cuba perbaiki diri untuk ke arah lebih baik. InsyaAllah,” katanya lagi.

Sebagai seorang suami, Nabil juga tidak terlepas ditanya mengenai penampilan isterinya, Zira Ayub yang tidak menggenakan tudung di sebalik gelaran Haji yang sudah dimiliki oleh Nabil.

“Saya memang ada bercakap dengan isteri mengenai perkara tersebut dan dia pun memang ada niat ke arah itu. Saya cuma minta peminat doakan yang baik-baik,” ujarnya.

Sempena meraikan sambutan 10 tahun dirinya sebagai seorang anak seni, Nabil telah berbesar hati menaja pakej umrah tiga peminat setianya pada Ramadan ini.

“Manalah tahu, tahun ini saya hantar tiga peminat ke Mekah, tahun depan rezeki ‘meletup’ dan saya dapat hantar 30 orang pula?

“Saya anggap ini sebagai rezeki saya untuk menolong peminat dan ia juga ruang untuk berbakti kepada masyarakat,” katanya. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
2
+1
0
+1
0
+1
0
+1
1
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button