Cerita ArtisHiburan

Nazim Sanggup Berhabis Puluhan Ribu Ringgit Untuk Beli Baju

Pelakon Nazim Othman mengakui dirinya merupakan seorang yang cerewet dalam pemilihan pakaian bagi menjayakan sesuatu watak yang diterimanya.

Disebabkan hal itu, Nazim sanggup menolak segala jenis tajaan dan sebaliknya lebih rela mengeluarkan duit sendiri bagi membentuk imej yang diperlukan oleh wataknya.

“Saya tak kisah keluarkan duit untuk perkara macam ini. Saya tak suka memakai baju tajaan sebab pernah sekali dapat baju tajaan tapi baju yang diberikan tak sesuai dengan watak yang saya bawakan ketika itu.

“Sejak itu, saya mula ambil pendekatan enggan menggunakan baju tajaan, sebaliknya lebih gemar mencari sendiri baju untuk sesuatu watak yang akan saya mainkan,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis pelancaran drama Monalisa di Hotel Pullman, Putrajaya baru-baru ini.

Selain Nazim, drama Monalisa yang diadaptasi dari drama hits Korea Selatan, The Women’s Room itu turut dibintangi Zara Zya, Mona Allen dan Hafreez Adam.

Drama Monalisa yang diarahkan oleh Shahrul Ezad Mohameddin itu akan ditayangkan pada setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6 petang bermula 20 Mac ini di saluran Astro Prima (105).

Menceritakan lebih lanjut mengenai pemilihan baju untuk karakter Johan yang dijayakan Nazim menerusi drama tersebut, aktor berusia 34 tahun itu berkata dia telah membelanjakan puluhan ribu ringgit bagi tujuan itu sahaja.

“Pihak produksi dah sediakan 23 sut tapi ia tidak mencukupi untuk drama yang berdurasi panjang seperti Monalisa, jadi saya usaha tambah sendiri koleksi baju untuk watak Johan.

“Kebetulan dalam drama ini watak saya perlu sentiasa memakai sut dan apabila saya ada cuti dari penggambaran, saya sempat singgah ke Vietnam baru-baru ini untuk menempah beberapa lagi sut untuk melengkapkan lagi koleksi. Secara keseluruhannya, untuk watak ini sahaja, saya dah ada 40 pasang sut.

“Bagi saya ia bukan satu pembaziran, sebab akhirnya nanti baju-baju ini juga yang akan saya pakai walaupun penggambaran sudah habis.

“Ini merupakan komitmen saya sebagai seorang pelakon. Bagi saya sendiri, prinsip saya mudah, jangan terlalu berkira.

“Perkara macam ini juga adalah satu pelaburan untuk seseorang pelakon itu sendiri,” katanya. – KopiPlanet.com

Kredit foto: Instagram Nazim Othman

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button