EventHiburan

Tema Fesyen Dan Muzik Jadi Pilihan Pada Acara AJL 32

Sebanyak 12 buah lagu terbaik bakal bersaing dalam Anugerah Juara Lagu 32 (AJL 32) yang akan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 11 Februari ini dengan menampilkan tema Fesyen Dan Muzik.

Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Johan Ishak berkata, biarpun sudah memasuki edisi ke-32, AJL masih utuh mendominasi menjadi pentas terbaik mengangkat usaha para pemuzik yang merangkumi komposer, penulis lirik dan penyanyi melalui penjurian profesional.

“Selain itu, buat pertama kalinya demi menampilkan kelainan, bersesuaian dengan tema yang dipilih, trofi AJL 32 telah disuntik dengan elemen fesyen hasil kerjasama pereka fesyen tersohor, Rizman Ruzaini.

“Selain menghayati komposisi lagu, nyanyian dan persembahan yang dipertaruhkan para finalis, penonton juga sentiasa ternanti-nantikan fesyen yang bakal digayakan kerana muzik dan fesyen saling melengkapi. Kami merasakan tema yang dipilih pada tahun ini amat bertepatan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika majlis sidang akhbar pelancaran AJL 32 yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur pada petang tadi.

Sementara itu, turut diumumkan pada majlis berkenaan adalah pengacara yang akan menjadi hos pada malam acara gemilang tersebut.

Jika pada tahun lalu, Awal Ashaari, Sarimah Ibrahim, Fara Fauzana, dan Fizi bertindak sebagai pengacara, pada tahun ini tanggungjawab tersebut digalas oleh Alif Satar dan Sherry Al Hadad.

Sebanyak 12 buah lagu akan dipertandingkan pada AJL 32, antaranya seperti Akhirnya Cinta (Salma), Aku Cinta (Syamel & Ernie Zakri), Aku Yang Sebenar (Hazama The Penglipur Lara), Amboi (Altimet dan Bayang (Khai Bahar).

Selain itu, lagu yang turut dipertandingkan seperti Jampi (Hael Husaini), Lebih Sempurna (Syamel), Menahan Rindu (Wany Hasrita), Sejati (Azmi Caliph Buskers), Separuh Mati Ku Bercinta (Dayang Nurfaizah), Tergantung Sepi (Haqiem Rusli) dan Warkah Untukmu (Ara Johari). – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button