
Hafiz Hamidun Beri Amaran Pada Joy
“Jangan main-main isu ini, ambil serius!”
Itu amaran yang diberikan Hafiz Hamidun kepada Siti Arifah Mohd. Amin atau Joy Revfa di sebalik kemelut perkahwinannya yang kian berpanjangan agar Joy mengambil serius mengenai hal melibatkan mereka.
Hafiz ketika ditemui pada prosiding sebutan kes faraq (pembubaran perkahwinan) di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pagi tadi berkata demikian memandangkan sikap sambil lewa Joy terhadap kes mereka sehingga mengelirukan keadaan.
“Sebenarnya kes ini boleh diselesaikan dengan cara baik, tetapi dia memilih untuk memfailkan di mahkamah. Apabila dia pergi ke mahkamah dan buat sidang media, jadi saya akur dan perlu ikut saluran undang-undang juga.
“Kejap kata nak selesai dengan baik, tiba-tiba failkan di mahkamah. Sekejap tidak mahu datang, tiba-tiba muncul. Saya okey dengan keputusan mahkamah, saya memang nak selesaikan perkara ini dengan cepat, namun dengan mengikut fakta dan bukannya mengikut emosi. Saya bagi amaran, jangan main-main. Ambil serius perkara ini!” tegas Hafiz.
Dalam prosiding pagi tadi, Hakim Syarie, Mohd. Hisyam Mohd Zakaria telah menetapkan sebutan semula kes faraq yang difailkan Joy pada 9 November ini.
Keputusan itu dibuat susulan kes pengesahan dan penceraian perkahwinan terdahulu Joy dengan bekas suaminya, Datuk Ray Imran masih lagi dalam perbicaraan mahkamah.
Kes perbicaraan mengenai pengesahan pernikahan dan penceraian perkahwinan terdahulu Joy akan disebut di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada 19 September ini.
Joy, 30, dalam permohonan faraqnya menuntut pihak mahkamah agar membubarkan perkahwinannya selepas Hafiz meragui perkahwinan mereka dengan mendakwa ia sebagai tidak sah dan enggan menjalankan tanggungjawab sebagai suami.
Sementara itu, Joy tetap dengan pendirian mendakwa perkahwinannya dengan Hafiz adalah sah.
Namun, pengusaha produk kecantikan itu enggan memberikan sebarang komen berhubung isu yang melibatkannya dengan Hafiz, seperti mana yang dinasihatkan peguamnya, Aznur Dollah.
Dalam prosiding pagi tadi, Hafiz diwakili peguam syarie, Azmi Mohd Rais. – KopiPlanet



