Cerita ArtisHiburan

Puteri Aishah Tepis Dakwaan Popular Sebab Kisah Peribadi

Pelakon cantik Puteri Aishah menepis dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan dirinya popular disebabkan kisah peribadi.

Menurut Puteri Aishah, setakat ini dia merasakan orang lebih mengenali dirinya disebabkan watak yang dibawanya dalam sesebuah drama atau telemovie.

“Saya tak rasa orang kenal saya sebab kisah peribadi. Biasanya kalau keluar dan terjumpa peminat, mereka akan panggil saya dengan nama watak yang dilakonkan.

“Jadi, ia membuktikan rata-ratanya orang kenal diri saya disebabkan produk. Malah, saya gembira apabila peminat yang sentiasa mengikuti perkembangan karier lakonan saya,” ujarnya ketika ditemui KopiPlanet.com baru-baru ini.

Dalam pada itu, apabila ditanya mengenai status terkini dirinya, finalis Dewi Remaja 2015/2016 tersebut menyatakan dia tidak mempunyai kekasih buat masa sekarang.

Biarpun sebelum ini dirinya pernah dikatakan mempunyai hubungan istimewa dengan Datuk SM Faisal SM Nasimuddin, namun pelakon itu memberitahu dia selesa untuk berkawan dengan sesiapa sahaja.

“Usia saya pun baru mencecah 23 tahun dah masih banyak lagi yang saya ingin kejar, terutamanya membabitkan karier seni.

“Lagipun terlalu awal untuk saya menjalinkan hubungan serius dengan mana-mana lelaki, apatah lagi masih lagi baru dalam industri,” jelasnya.

Sementara itu, bercerita mengenai aktivitinya sepanjang bulan Ramadan, Puteri Aishah memberitahu kini dia sibuk selaku duta kempen Syukur Selalu Terima Kasih anjuran Media Prima.

Menurutnya, pemilihannya sebagai kempen adalah untuk mempromosikan filem terbaharu lakonannya berjudul Pulang yang akan ditayangkan pada bulan Julai nanti.

“Sebagai duta saya akan pergi ke bazar dan rumah anak yatim yang telah diaturkan. Selain itu, saya juga terbabit dengan penggambaran drama bersiri Terima Aku Seadanya bersama Nazim Othman untuk siaran di ntv7,” ujarnya. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button