FilemTerkini

Santet: Black Magic Inspirasi Kisah Benar Sebuah Keluarga

Setelah tampil dengan sebuah filem seram berjudul Roh Yang Tak Terlihat pada April lalu, kali ini Skylar Pictures dengan kerjasama Cashmere Studios dan Empire Film Solution tampil dengan sebuah lagi nashkah dengan genre yang sama berjudul Santet: Black Magic.

Pengarahnya, Helfi Kardit menyatakan bahawa jalan cerita dalam filem Santet: Black Magic ini merupakan inspirasi kepada kisah yang pernah berlaku.

“Filem ini dihasilkan menerusi sebuah kisah benar yang telah diceritakan kepada kami. Sesuatu yang istimewa mengenai filem ini apabila ia menggabungkan barisan pelakon daripada tiga buah negara iaitu United Kingdom, Filipina dan Indonesia.

“Pada masa yang sama, kami berasa cukup bertuah kerana berjaya mendapatkan pelakon popular Hollywood, Kelly Brook sebagai teraju utama yang membintangi filem ini,” ujarnya.

Santet yang bermaksud ‘ilmu hitam’ memaparkan sebuah kisah seram mengenai sebuah keluarga yang diganggu dengan ilmu hitam. Selain Kelly, Santet: Black Magic turut menampilkan barisan pelakon Indonesia seperti Marcelino Lefrandt, Ray Sahetapy and Ayu Dyah Pasha serta pelakon kelahiran Filipina iaitu Jazz Ocampo.

Filem ini mengisahkan tentang Rendy (Marcelino) kembali ke kampung halamannya di Indonesia bersama-sama isterinya, Laura (Kelly Brook) dan dua anak perempuannya Aaliyah (Jazz Ocampo) dan Kelly (Bali Nadeya Curtain).

Sudah lama bermastautin di Amerika Syarikat, dia pulang ke negara kelahirannya kerana ingin menjaga ibunya selepas bapanya mengambil keputusan nekad dengan membunuh diri.

Sejak kepulangannya, Rendy melihat tahap kesihatan ibunya yang merudum dan hanya mampu terlantar di katil sahaja. Ibunya hilang keupayaan untuk bercakap dan mula meracau-racau selain menyerang Laura dan cucu-cucunya, seakan-akan memberi tanda untuk mereka keluar dari rumah agam keluarga Rendy.

Kemudia ibunya dibawa ke hospital selepas dia memuntahkan darah, kaca dan paku di hadapan Rendy, isteri dan anak-anak mereka. Walaupun mengetahui apa yang dialami oleh ibunya tidak boleh dirawat dengan kepakaran doktor perubatan, namun Rendy tetap berkeras menghantar ibunya ke hospital.

Rendy menyedari yang keluarganya diganggu syaitan dan makhluk halus, namun tiada apa yang dapat dilakukannya untuk mengelakkan keluarganya daripada terus diganggu.

Bercerita lebih lanjut mengenai pemilihan Kelly Brook sebagai teraju utama, Helfi menyatakan kemunculan model dan pelakon seksi yang pernah tampil dalam beberapa filem Hollywood seperti The Italian Job dan Piranha 3D itu telah menampilkan aksi lakonan yang cukup memberangsangkan.

“Kalau menceritakan tentang bayaran untuk Kelly, jumlahnya sahaja boleh menampung kos untuk menghasilkan sebuah filem seram di Indonesia.

“Namun begitu, ia bukan menjadi satu ukuran buat kami kerana apa yang lebih penting adalah impak filem ini agar dapat memberi kepuasan kepada penonton yang menggemari filem-filem bergenre seram,” jelasnya.

Bakal ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia pada 25 Oktober 2018, filem Santet: Black Magic turut ditayangkan di beberapa buah negara lain seperti Indonesia, dan Filipina. Menjalani penggambaran sepenuhnya di Indonesia, filem ini turut menelan kos pembikinan sebanyak RM4 juta.

Selain tu, syarikat 4Digital Media yang bernaung di bawah Sony Pictures juga telah diberi hak pengedaran untuk Video On Demand (VOD) di Amerika Syarikat dan United Kingdom. – KopiPlanet.com

 

https://www.youtube.com/watch?v=gYasoTjfxE0

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button