
Zamani Rasa Terkilan Stesen Radio Tak Main Lagu Baharunya
Penyanyi Zamani Ibrahim, 47, melahirkan perasaan terkilan apabila stesen radio tidak memutarkan single terbaharunya, Tambatan Hati yang diterbitkan dua tahun lalu.
Zamani turut berasa hairan kenapa lagunya itu tidak pernah disiarkan biarpun sudah memberikan demo lagu kepada stesen radio.
“Saya ada keluar dengan single baharu berjudul Tambatan hati pada 2016. Tapi sampai sekarang saya tidak tahu kenapa stesen radio tak mainkan langsung lagu itu,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis sidang media Konsert Pentas Maya Bersama Zamani di ibu kota, semalam.
Mengakui sedikit serik untuk menghasilkan single baharu, namun Zamani berkata dia melihat perkara itu dari sudut positif.
“Walaupun sedikit serik tapi ia tidak mematahkan semangat saya. Saya pun belajar daripada kesilapan mungkin lepas ini kalau nak keluar single baharu saya akan lebih memastikan dari segi kualiti dan promosi lagu itu berjalan seiring.
Ketika ditanya tidakkah dia merasa saingan lagu-lagu daripada penyanyi generasi baharu menyebabkan lagunya terpinggir daripada dimainkan, Zamani berkata, “Saya tidak salahkan penyanyi baharu sebab pasaran kita sekarang dikuasai generasi mereka. Malah saya sendiri pun suka lagu-lagu mereka yang mana kebanyakan mereka sangat berbakat besar. Mereka bukan penyebab (lagu tidak dimainkan)”.
Konsert Pentas Maya Bersama Zamani yang dianjurkan Pentas Maya dengan kerjasama Mobilewerkz Technologies akan diadakan pada 2 Mei ini. Ia merupakan konsert pertama yang diadakan secara atas talian.
Peminat boleh melayari laman web www.pentasmaya.com dengan harga sebanyak RM30 untuk mendapatkan akses menonton konsert tersebut.
Dalam konsert berdurasi satu jam itu, Zamani akan mendendangkan enam lagu hits Slam serta dua lagu cover untuk menghiburkan peminat setianya.
“Untuk konsert kali ini, ia satu pengalaman baharu untuk saya apabila ia akan disiarkan secara langsung menerusi alam maya. Saya harap peminat akan terhibur dengan konsert ini,” katanya. – KopiPlanet.com