
Saingan Gegar Vaganza 5 (GV5) telah berada di kemuncaknya apabila penyanyi Noryn Aziz telah dinobatkan sebagai juara dengan mengalahkan lima peserta yang lain.
Untuk persembahan final yang berlangsung di Dewan MBSA Shah Alam malam tadi, Noryn mempersembahkan dua buah lagu iaitu Laskar Cinta (duet bersama Awi Rafael) dan lagu Where Is The Love untuk persembahan battle bersama Dia Fadila.
Dengan muncul sebagai juara, Noryn berjaya membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM100,000 sumbangan Astro, penginapan di Royal Chulan Hotel & Resort dan Piala Gegar Vaganza.
Sementara itu, Dia Fadila yang membawakan lagu Makin Aku Cinta (duet bersama Ajai) dan Where Is The Love (battle – Noryn Aziz) sekadar berpuas hati di tempat kedua dan memenangi hadiah wang tunai RM50,000, penginapan di Royal Chulan Hotel & Resort dan Piala Gegar Vaganza.
Tempat ketiga pula menjadi milik penyanyi Zamani, manakala tempat ke-4 pula diraih Amelina. Sementara itu, penyanyi Maya dan Billy Zulkarnain pula meraih kedudukan ke-5 dan ke-6.
Masing-masing berhasil membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000 (ketiga), RM20,000 (ke-4), RM15,000 (ke-5) dan RM10,000 (ke-6) serta penginapan di Royal Chulan Hotel & Resort dan Piala Gegar Vaganza.
Jumlah undian adalah 100% berdasarkan daripada juri tetap iaitu Datuk Ramli MS dan Datuk Khadijah Ibrahim serta juri jemputan Datuk Dj Dave dan Joe Flizzow. – KopiPlanet.com