EventHiburan

OAG Masih Relevan, Lancar Kelab Peminat Lepas 26 Tahun

Selepas hampir 26 tahun bertapak dalam industri hiburan tempatan, kumpulan Old Automatic Garbage atau OAG terus kekal relevan apabila masih lagi bertapak di hati peminat setia mereka.

Ini terbukti menerusi mini showcase yang dijayakan mereka di Cartel Coffee Shop, Bangi baru-baru ini apabila ia dihadiri 150 peminat setia yang sudah lama menyokong sejak kemunculan mereka lebih dua dekad lalu.

Selain peminat lama, rata-rata penonton yang hadir juga terdiri daripada peminat generasi baharu yang turut ‘layan’ dengan seleksi lagu-lagu hits OAG.

Antara lagu-lagu yang diperdendangkan pada malam itu ialah lagu yang menjadi trademark OAG seperti Slumber, 60’s TV, Generasiku, Knocked Silly, Akustatik, PerMYsuri, Beautifool dan Konspirasi Bising Internasional.

OAG turut mempersembahkan single-single terbaharu yang akan dimuatkan dalam album baharu yang akan dipasarkan pada tahun hadapan seperti Infiniti, Snowball dan Burung Antoo.

Selain showcase, OAG turut melancarkan kelab peminat buat julung kalinya yang mana memberikan banyak kelebihan buat peminat yang menyertainya.

“Selama berada dalam industri muzik kami tidak pernah ada kelab peminat. Tapi buat pertama kali, kami bersepakat untuk mewujudkan kelab peminat. Kelab ini khas untuk mereka yang menyokong perjalanan OAG sepanjang berada dalam industri dan memberikan kelebihan kepada peminat setia kami.

“Peminat yang menyertai dan menjadi ahli kelab peminat ini akan mendapat peluang yang banyak seperti menikmati showcase atau gig OAG secara percuma.

“Selain melancarkan kelab peminat, kami turut memilih untuk mengadakan showcase di Cartel Coffee Shop untuk pemberitahuan bahawa tahun hadapan OAG akan kembali lebih aktif dalam industri,” kata Qi Razali mewakili ahli kumpulannya.

Selain Qi yang berperanan sebagai drummer, OAG turut dianggotai Radhi selaku vokalis, Amal (gitaris) dan Yen (bassist).

OAG yang ditubuhkan pada 1992 dikenali sebagai peneraju muzik rock alternatif Malaysia. Resume seni mereka bermula dengan album pengenalan Old Automatic Garbage yang diterbitkan pada 1994, Experimental Playground 1967 (1997), Melody Mocker (1999), Opera Radhio-o Friendly (2002), Satelit Ink (2003) dan OrAnG (2006).

Showcase yang dianjurkan oleh Bro Empire Entertainment dan 2z Production dengan kerjasama Little Joe Air Freshener ini merupakan penganjurkan kali ketiga diadakan di Cartel Coffee Shop bermula dengan penyanyi Bil Musa yang diadakan pada 27 Oktober lalu dan kumpulan Flop Poppy pada 3 November lalu. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button