
Opick Akui Kahwin 2, Nafi Rumah Tangga Bergolak
Penyanyi Opick menafikan rumah tangganya bergolak seperti mana yang dilaporkan tabloid Indonesia, baru-baru ini.
Mengakui sudah berkahwin buat kali kedua, Opick bagaimanapun enggan mengulas lebih lanjut mengenai perihal rumah tangganya bila mana terdapat laporan mendakwa isteri pertamanya menuntut cerai daripadanya.
“Alhamdulillah, baik-baik sahaja di rumah. Tiada apa-apa pun sebenarnya.
“Saya memilih untuk berdiam. Jadi doakan baik-baik sahaja,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran album baharunya yang berjudul Allah Bersamamu di Talent Lounge, Damansara Perdana hari ini.
Opick dilihat kurang selesa dengan pertanyaan wartawan dan lebih senang menjawab soalan berkaitan album baharumya itu sahaja.
Menerusi album ke-19 itu, Opick yang cukup popular dengan lagu-lagu bertema ketuhanan, kali ini menerapkan unsur-unsur kemanusiaan dalam karyanya.
“Album ini diinsprasikan daripada situasi yang melanda kaum Rohingya, rakyat di Syria dan Palestin. Tema kemanusiaan diangkat bagi album kali ini,” katanya lagi.
Sejajar dengan tema kemanusiaan itu, Opick menerusi yayasan kebajikan yang dinaunginya, Tombo Ati Foundation akan melawat Myammar dan Syria bagi menyampaikan sumbangan bantuan dalam masa terdekat ini. – KopiPlanet.com



