
Pelakon & Seniman Veteran Zulkifli Zain Disahkan Meninggal Dunia
Pelakon dan seniman legenda, Datuk Zulkifli Zain telah disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 7.30 malam tadi setelah mengalami kegagalan fungsi buah pinggang.
Perkara itu disahkan oleh anaknya yang juga seorang pelakon dan pensyarah, Dr Norzizi yang menyatakan arwah bapanya meninggal dunia di rumah mereka di Ukay Perdana.
Menurut Norzizi, arwah bapanya pergi dalam keadaan yang tenang dan dia bersama adiknya turut berada disamping bapanya.
“Perkara terakhir yang dia cakap pada saya ialah untuk menggosok belakangnya sebelum dia menunjuk ke arah katil sebagai tanda mahu baring. Tak lama kemudian saya dan adik nampak yang nafasnya mula nampak lain macam dan kami mahu membawanya ke hospital.
“Tetapi selepas itu nafasnya kembali tenang dan tak berapa lama selepas itu, dia menyedut nafas dengan perlahan sebelum memejamkan mata dan meninggal dunia,” katanya.
Menurutnya, jenazah akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Amapang pada esok hari sebelum solat Zohor. Pengebumian pula akan dilakukan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana.
Jelas Norzizi lagi, Allahyarham sudah enam bulan berada di rumah dan doktor pun sudah memberitahu yang keadaannya sebelum ini kritikal kerana kegagalan fungsi buah pinggang.
Norzizi turut merakamkan ucapan terima kasih kepada rakan artis yang mengucapkan ucapan takziah kepada mereka sekeluarga.
“Kami sekeluarga dapat merasakan kasih sayang yang cukup erat daripada kalangan rakan-rakan artis. Saya juga memohon kepada sesiapa yang ada mempunyai hutang dengan Allahyarham untuk berhubung dengan kami sekeluarga,” katanya.
Allahyarham meninggalkan seorang balu yang juga seorang seniwati veteran, Normala Omar, lima orang anak dan tujuh cucu.
Allahyarham yang juga bekas Presiden Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM) sebelum ini terkenal menerusi filem Permintaan Terakhir dan Tiada Esok Bagimu. – KopiPlanet.com



