Rancangan TVTV

Perjalanan Cinta Mira Filzah-Wan Emir Diabadi Dalam In Love With Mira

Pelakon Mira Filzah bakal tampil dengan program terbaharu, In Love with Mira, Sebuah Cerita Cinta yang mana akan menceritakan perjalanan kisah cintanya bersama jejaka pilihan hati, Wan Emir Astar Wan Mohammad Khair-il Anuar.

In Love with Mira, Sebuah Cerita Cinta akan bersiaran mulai Isnin 7 September, jam 9 malam di saluran Naura (109). Program eksklusif berdurasi 30 minit ini akan berlangsung selama 8 episod berturut-turut. ‘In Love with Mira, Sebuah Cerita Cinta’ mengisahkan perjalanan pelakon, pengacara, model dan usahawan jelita tanah air Mira Filzah dan suaminya, Wan Emir Astar dalam mencari jawapan kepada pelbagai persoalan tentang alam rumah tangga, sebagai persiapan untuk melangkah ke fasa kehidupan yang seterusnya.

Rancangan itu memaparkan pertemuan mereka dengan beberapa individu disegani bagi mendapatkan nasihat dan bimbingan terbaik demi kelangsungan dan kebahagiaan hubungan kedua bakal mempelai itu sebelum ke jinjang pelamin dan selepas akad yang bakal menyatukan dua hati menjadi satu.

Individu-individu ini termasuklah Datuk Prof Dr Muhaya, Datuk Siti Nor Bahyah Mahamood, Ustaz Dato’ Badli Shah, Imam Muda Asyraf, Ustazah Asni Mansor, dan Ustazah Isfadiah Mohd Dasuki.

Naib Presiden Saluran Perniagaan Melayu Astro, Azlin Reza Azmi berkata, “Sebagai saluran yang memfokuskan kepada kandungan gaya hidup Muslim moden, kami amat teruja apabila dapat bekerjasama dengan figura serba boleh dan diminati ramai, Mira Filzah untuk menghasilkan sebuah kandungan yang cukup eksklusif ini. Audiens, terutamanya peminat Mira dapat mengenalinya dengan lebih dekat dan turut sama menyaksikan perjalanan beliau menuju ke gerbang perkahwinan.”

“Penampilan istimewa tunang Mira, saudara Wan Emir Astar, turut melengkapkan lagi program ‘In Love with Mira, Sebuah Cerita Cinta’ ini. Kami begitu berbesar hati dengan kedua-dua bakal mempelai kerana memberi sepenuh kepercayaan kepada Naura untuk merekodkan momen-momen terindah mereka, menjadikannya sebuah penceritaan yang cukup eksklusif dan tidak pernah lagi dipaparkan di mana-mana platform media yang lain.

“Kami berharap, dengan penghasilan program ‘In Love with Mira, Sebuah Cerita Cinta’ ini, audiens terutamanya mereka yang bakal mendirikan rumah tangga, dapat memanfaatkan segala nasihat yang diutarakan barisan tetamu jemputan kami, dan turut sama berkongsi kegembiraan Mira dan tunang beliau dalam meniti hari-hari bahagia mereka,” katanya.

Tayangan serentak episod pertama In Love with Mira, Sebuah Cerita Cinta di Naura (saluran 109), Ria HD (saluran 104) dan Astro Ria (saluran 124) mulai Isnin, 7 September pada jam 9 malam. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button