• FOLLOW US
Filem, Terkini

Penerbit Sedih Filem Garang Kurang Dapat Sambutan Penonton

Penerbit filem Garang ‘Aku Luar Biasa’, Dakshina Muriti meluahkan rasa sedih apabila filem berkisar Orang Kelainan Upaya (OKU) itu kurang mendapat sambutan penonton.

Dakshina berkata, dia berasa terkilan apabila sambutan filem yang diinspirasi daripada kisah benar itu menerima jumlah penonton yang rendah.

“Saya sedih apabila majoriti yang menonton filem berkisarkan Orang Kelainan Upaya (OKU) ini dalam kalangan OKU saja “Inisiatif filem ini adalah bagi mencari dana untuk membina sebuah asrama baru untuk pelatih OKU di Bengkel Sampul Surat di Batu Pahat, Johor.

“Bagaimanapun sejak ditayangkan 5 Disember lalu, tidak ramai yang menyokong filem ini sedangkan filem ini mempunyai misi yang besar untuk membantu golongan OKU. Sedangkan, jalan ceritanya juga cukup menarik apabila ia mengisahkan kisah hidup seorang bekas atlit paralimpik kebangsaan, Izam dalam acara sukan lumba kerusi roda,” ujarnya mengenai sambutan filem sulung terbitannya itu yang menemui penonton sejak minggu lalu.

Filem terbitan Sakti Films Sdn. Bhd. yang menelan belanja sebanyak RM1.5 juta termasuk pembikinan dan pemasaran itu dibintangi barisan pelakon hebat seperti Pablo Amirul, Ahmad Maembong (OKU Fizikal), Osman Omar (OKU Fizikal), John Elijah (OKU Fizikal), Chacha Maembong, Wan Hanafi Su, Jalil Hamid, Izam Abdul Hamid (OKU Fizikal) dan Shukur Abd Hamid (OKU Fizikal).

Sementara itu, salah seorang pelakon OKU Osman Omar yang kali pertama berlakon filem menyeru sokongan daripada semua pihak terutamanya Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk membantu mempromosikan filem Garang ini.

“Jika selama ini warga OKU menyokong filem orang normal, mengapa tidak kali ini masyarakat Malaysia menunjukkan sokongan kepada filem OKU yang memberi banyak mesej dan pengajaran ini.

“Filem ini bila-bila saja boleh dihentikan tayangan sekiranya tiada sambutan daripada penonton. Jika ia dihentikan maka terbantutlah misi untuk membantu golongan OKU.

“Saya juga mohon sokongan daripada pihak kerajaan untuk membantu filem ini kerana perjalanan yang kami tempuh untuk menyiapkan filem ini bukan mudah,” katanya.

Garang mengisahkan tentang Izam, seorang atlit paralimpik yang telah banyak mewakili negara dalam acara sukan lumba kerusi roda.

Satu insiden yang berlaku pada Izam telah menimbulkan sengketa antara Jasmin dan Reza sehingga memaksa Jasmin mendapatkan pertolongan dari tiga sahabat lamanya iaitu Kamal, Rashid dan Macha. Mampukah tiga sahabat ini merungkai segala konflik yang ada dan membantu Jasmin. – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend