• FOLLOW US
Cerita Artis, Hiburan

Pengalaman Ibu Ditipu Scammer Jadi Inspirasi Nabil Hasilkan Dato S

Pelawak dan pengacara, Nabil Ahmad telah mengambil inspirasi daripada kisah sebenar ibunya yang pernah menjadi mangsa penipuan duit oleh scammer sebagia intipati jalan cerita Filem Televisyen (FTV), Dato S yang merupakan cerita asal garapan daripadanya.

Menurut Nabil, dia masih mengingati dengan jelas saat ibunya ditipu scammer ketika dirinya masih kecil dan percaya permasalahan itu masih lagi berleluasa sehingga ke hari ini.

“Dato S merupakan garapan cerita asal daripada saya. Perkara ini memang selalu jadi di kalangan masyarakat kita tapi tiada sesiapa yang ambil inisiatif untuk ketengahkan isu ini sama mana menerusi naskhah drama ataupun filem.

“Ramai individu-individu terdekat dengan saya pernah jadi mangsa scammer, antaranya ibu saya sendiri. Duit VSS ibu saya hangus ditipu scammer, saya ingat lagi sampai sekarang ibu saya menangis-nangis, tapi dah tak boleh buat apa.

“Disebabkan itu, saya nak jadikan filem satu kenyataan agar ia dapat memberi peringatan dan pengajaran orang di luar sana supaya tidak terpedaya dengan golongan scammer.

“Kami sampaikan filem ini secara santai dan komedi sebab kalau guna pendekatan terlalu serius, mesej yang ingin dipaparkan mungkin tidak sampai kepada penonton,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis pratonton Dato S yang berlangsung di GSC Nu Sentral, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dato S yang diarahkan oleh Shahrol Esham membariskan lakonan cemerlang Kamal Adli, Zulin Aziz, Puteri Aishah dan Fikri Ibrahim.

Ia akan ditayangkan di Astro First Eksklusif (saluran 480) mulai 24 Oktober ini. Filem terbitan KMN Production Sdn. Bhd ini telah menjalani penggambaran di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor dalam masa 14 hari. – KopiPlanet.com

Sinopsis Dato S:

Dato S mengisahkan tentang Sazali (Kamal Adli) yang merupakan seorang jurujual yang mempunyai perwatakan menarik serta berkeyakinan tinggi. Menerusi kelebihan itu, Sazali kerap menipu orang ramai dengan pelbagai aktiviti ‘scammer’ seperti skim cepat kaya, menawarkan pakej-pakej istimewa untuk menunaikan umrah dan haji ataupun menjalankan ibadah korban, pertandingan gores dan menang serta penjualan tanah.

Sazali berjaya memperdayakan ramai ahli perniagaan di mana mereka telah membuat pelaburan yang tinggi dan pada usia pertengahan 30-an, Sazali telah menjadi jutawan dan hidup dengan penuh kesenangan hasil tipu dayanya itu. Namun begitu, setiap penipuan dan aktiviti jenayah yang dilakukan Sazali mendapat tentangan isterinya yang dilakonkan Zulin Aziz. Sazali alpa dalam dunia baharunya sehinggakan isteri dan anak meninggalkannya.

Adakah kesenangan ‘haram’ yang diraih Sazali atau Dato S itu akan kekal selama-lamanya? Sama-sama nantikan tayangan Dato S di Astro First Eksklusif bermula 24 Oktober ini. – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend