• FOLLOW US
Cerita Artis, Hiburan

Pengarah Filem Motif Menang Anugerah Di Cannes Gold Lion 2019

Pengarah filem Motif, Nadiah Hamzah mengharumkan nama Malaysia apabila iklan khidmat pesanan masyarakat (PSA) arahannya berjaya memenangi pingat gangsa di Anugerah Cannes Gold Lion 2019 yang berlangsung di Cannes, Perancis baru-baru ini.

Anugerah Cannes Gold Lion merupakan majlis anugerah tahunan di Cannes yang mengiktiraf kejayaan industri pengiklanan kreatif di seluruh dunia dan tahun ini merupakan kali ke-66 penganjurannya.

Nadiah memenangi trofi itu menerusi iklan Voice of the Children yang memaparkan babak kanak-kanak dibuli di sekolah yang merupakan antara isu sejagat yang sering kali dibangkitkan.

Iklan berdurasi 2 minit 47 saat itu menunjukkan betapa ‘tenatnya’ masyarakat sekarang yang lebih suka berkongsi dan tekan butang ‘like’ daripada mengambil langkah untuk membantu kanak-kanak daripada terus menjadi mangsa buli.

Nadiah menjelaskan iklan tersebut turut mendapat sentuhan daripada dua pengarah iaitu Syed Madnuh dan Emir Ezwan.

“Anugerah Bronze Lion yang menang di Cannes Lion 2019 merupakan hasil cetusan idea dan kolaborasi bersama Leo Burnett KL dengan tiga pengarah iaitu Syed Madnuh, Emir Ezwan dan saya. Kempen Anti Buli dah dikeluarkan tahun lepas dan Alhamdulillah kami menang pada bulan Jun lalu. Kempen ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang kes buli yang semakin berleluasa, dengan menggunakan pendekatan ‘viral video’
,” katanya ketika dihubungi KopiPlanet.com.

Menurutnya lagi, kejayaan itu turut dikongsi bersama agensi pengiklanan Leo Burnett yang turut sama melahirkan buah idea bagi penerbitan iklan tersebut.

Dalam perkembangan sama, Nadiah bakal muncul dengan filem arahannya, Motif yang bakal memulakan tayangan pada 26 September ini. Filem bergenre suspen itu turut dibintangi Sharifah Amani, Rosyam Nor, Azhan Rani dan Iedil Putra.

“Saya harap dengan kemenangan di Cannes Gold Lion itu membuka mata orang ramai untuk lebih mengenali saya sebagai pengarah filem Motif yang akan ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 26 September ini,” katanya. – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend