• FOLLOW US
Filem, Terkini

Pengarah Nafi M4M4 Tiru Filem Bollywood Lakonan Sri Devi

Belum pun memulakan tayangan, filem bergenre seram thriller M4M4 dikatakan mempunyai persamaaan jalan cerita dengan filem Bollywood, Mom lakonan mendiang Sri Devi yang diterbitkan pada 2017.

Bagaimanapun, pengarah M4M4, Eyra Rahman tampil memberikan penjelasannya dengan mengatakan filem arahannya itu tidak meniru mana-mana filem yang pernah ditayangkan sebelum ini.

“Ini persoalan yang selalu saya dengar daripada orang di luar sana. Saya ingin katakan di sini M4M4 tidak ada kaitan dengan filem Mom dan saya sendiri tidak pernah tengok filem tersebut. Jadi tidak sepatutnya timbul isu filem M4M4 meniru filem Mom.

“Mungkin ada persamaan daripada segi kisah ibu yang membalas dendam untuk anaknya yang menjadi mangsa rogol. Namun filem M4M4 mengisahkan konflik ibu dan anak kandungnya dan ia berbeza dengan Mom yang saya difahamkan mengenai ibu tiri yang ingin menuntut bela di atas kematian anak tirinya,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada malam gala filem M4M4 di MM2 Cineplexes, E-Curve, Mutiara Damansara baru-baru ini.

M4M4 yang diterbitkan Da Motion Media menampilkan lakonan hebat Nabila Huda, Bella Dowanna, Faizal Hussein, Kodi Rasheed, Niezam Zaidi, Ungku Hariz, Eyra Hazali dan Izzy Reef.

Ia memaparkan kisah seorang ibu tunggal yang ingin membalas dendam di atas kematian tragik anak gadisnya yang dirogol sekumpulan samseng.

M4M4 bakal ditayangkan esok di 111 pawagam seluruh negara termasuk Singapura dan Brunei. – KopiPlanet.com

SINOPSIS M4M4:

Kisah bermula pada hari lahir ke-15 Alya (Bella Dowanna) yang disambut setiap tahun bersama mamanya, Aini (Nabila Huda). Setelah kematian suami ketika Alya berusia lapan tahun, Aini berusaha keras setiap hari untuk memberikan kehidupan yang lebih baik untuk anaknya.

Alya mempunyai dua kawan baik iaitu Daniel (Izzy Reef) dan Elly (Eyra Hazali). Mereka bertiga tinggal di kawasan yang sama dan membesar bersama-sama. Pada suatu hari, Alya, mereka diganggu oleh tiga orang lelaki iaitu Apai (Kodi Rasheed), Luk (Ungku Hariz) dan Remy (Niezam Zaidi) yang terkenal dengan gaya dan lagak samseng mereka di kawasan tersebut.

Mereka sering menganggu pelajar-pelajar sekolah yang makan di kawasan tersebut, termasuk Alya. Namun, pada hari tersebut kesabaran Alya memuncak apabila Apai dengan beraninya menyentuh Alya. Berlaku pergaduhan di antara Apai, Alya dan Danny sehingga menyebabkan Alya dengan beraninya menyimbah sup panas kepada Apai.

Sewaktu Alya dan Elly sedang menunggu bas, sesuatu menimpa Elly dan dia terpaksa beredar dari situ buat seketika. Semasa Alya menunggu Elly, Apai dan kawan-kawannya muncul bersama motor dan membuat onar di situ. Alya dapat merasakan sesuatu yang tidak kena. Apai dan kawan-kawannya menarik Alya untuk pergi dari situ. Alya dibawa ke sebuah bangunan tinggal dan diperkosa dengan kejamnya. Alya pulang ke rumah dalam keadaan sakit dan cedera. Aini cuba menyembunyikan emosinya sebagai ibu demi membantu Alya yang masih trauma.

Namun, tekanan yang diterima dalam kalangan masyarakat menyebabkan jiwanya sebagai ibu turut terkesan. Melihatkan keadaan Aini, Alya cuba bangkit dan cuba untuk melupakan apa yang sudah terjadi. Dia mahu memulakan segalanya bersama Aini. Bagaimana Aini sebagai seorang MAMA menangani kemelut emosinya? Adakah Aini sanggup memaafkan ApaiI, Luk dan Remy? Segalanya bakal terjawab di dalam filem M4M4 yang bakal ditayangkan di pawagam pada 6 Februari 2020. – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend